Cadang ambil alih kepentingan Link Net, XL Axiata perlu hutang baharu - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Cadang ambil alih kepentingan Link Net, XL Axiata perlu hutang baharu - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Cadangan Axiata Group Berhad menerusi anak syarikatnya, XL Axiata Tbk PT untuk mengambil alih 66% kepentingan Link Net Tbk PT mungkin memerlukan hutang baharu bagi menampung langkah tersebut. 

 

XL Axiata berpotensi membiayai 10% daripada jumlah keseluruhan pengambilalihan kepentingan itu dengan wang tunai berjumlah Rp870 bilion dan selebihnya, Rp7.8 trilion mungkin ditampung dengan hutang baharu, menurut ramalan penganalisis Kenanga Research, Lim Khai Xhiang. 

 

“Dengan andaian kos faedah sebanyak 8%, XL Axiata akan menanggung kos faedah selepas cukai tambahan sebanyak Rp501 bilion atau RM143 juta. 

 

“Tambahan RM1.5 bilion hutang dalam buku Axiata akan meningkatkan penggearan bersihnya daripada 0.76x kepada 0.80x,” jelas Khai Xhiang dalam satu nota kajian. 

 

Link Net mencatatkan permodalan pasaran sebanyak Rp13 trilion sekali gus membawa cadangan pengambilalihan 66% kepentingan itu bersamaan Rp8.7 trilion dan baki tunai XL Axiata terkini bernilai Rp1.5 trilion. 

 

Baru-baru ini, XL Axiata telah mencadangkan untuk mengambil alih 66.03% kepentingan ekuiti dalam syarikat pengendali jalur lebar tetap dan Kabel Televisyen (TV) Indonesia, Link Net. 

 

Buat masa ini, nilai pembelian kepentingan itu masih belum didedahkan, tetapi Kenanga menjangkakan ia mungkin mencecah Rp4,600.

 

Sekiranya XL Axiata berjaya mengambilalih kepentingan itu, ini akan mencetuskan Tawaran Berwajib untuk membeli baki saham Link Net. 

 

“Berdasarkan pemahaman kami, XL Axiata tidak berhasrat untuk menyahsenaraikan Link Net. 

 

“Dengan andaian XL Axiata akan membiayai pengambilalihan itu pada harga pasaran semasa bernilai Rp4,600 dengan 90% hutang baharu, dan mengambil kira kos faedah selepas cukai tambahan, kami menjangkakan pengambilalihan ini akan meningkatkan keuntungan bersih utama Axiata sebanyak 2% (+RM26 juta).

 

“Walaupun kami positif terhadap pertumbuhan jangka panjang XL Axiata di pasaran Indonesia menerusi pengambilalihan ini, namun kami fikir ini masih terlalu awal untuk pasaran menentukan kenaikan perolehan selepas tahun kewangan 2022 (FY22),” tambah Khai Xhiang. 

 

Kenanga mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas saham Axiata dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM4.45 sesaham.

 

Baca : Axiata-Telenor meterai perjanjian bentuk Celcom Digi Berhad bernilai RM50 bilion 

 

Sementara itu, penganalisis di PublicInvest Research, Eltricia Foong percaya prospek pertumbuhan Link Net dilihat meyakinkan berikutan populasi Indonesia yang besar dengan 58% daripadanya berusia di bawah 30 tahun. 

 

Namun, senada Kenanga, beliau tidak menafikan bahawa cadangan itu masih di peringkat awal perbincangan. 

 

“Ia kekal tidak pasti sama ada ini akan membawa kepada perjanjian muktamad. Tanpa maklumat penting seperti pertimbangan pembelian, penilaian, kaedah pembayaran dan sebagainya, sukar untuk kami menilai impaknya ke atas Axiata buat masa ini,” katanya.

 

Link net mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) perolehan selama lima tahun sebanyak 9%, bagi tempoh 2015 hingga 2020 dengan pertumbuhan tahunan 15% dari segi purata hasil setiap pengguna (ARPU). 

 

Pada suku pertama FY21 (1QFY21), Link Net mencatatkan pendapatan sebelum faedah, pajak, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) dan margin keuntungan barsih, masing-masing pada kadar 58.4% dan 23.3%. - DagangNews.com