Cadangan dasar kabotaj dikemukakan 2 minggu lagi - KJ | DagangNews Skip to main content

Cadangan dasar kabotaj dikemukakan 2 minggu lagi - KJ

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 April - Beberapa cadangan berhubung dasar kabotaj negara dijangka dikemukakan dalam tempoh dua minggu akan datang.

 

Ini selepas pengecualian dasar tersebut telah dibincangkan dalam Kabinet hari ini, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

 

KJ
Khairy Jamaluddin

 

“Pengecualian dasar kabotaj untuk pembaikan kabel dasar laut telah dibincangkan di dalam Kabinet hari ini.

 

“Menteri dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi,  Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan MOSTI diarahkan untuk berbincang mengenai impak (pengecualian kabotaj) ke atas pelaburan digital dan industri perkapalan tempatan.

 

"Bakal melaporkan cadangan dalam masa dua minggu,” katanya menerusi sebuah hantaran di Twitter.

 

Pengecualian kabotaj itu diperkenalkan oleh Menteri Pengangkutan yang terdahulu, Anthony Loke sebelum ditarik balik oleh pemegang jawatan berkenaan ketika ini, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. 

 

Pada beberapa bulan lalu, terdapat syarikat teknologi gergasi termasuk Google, Facebook, Microsoft dan MyIX dilaporkan meluahkan kebimbangan mereka terhadap keputusan kerajaan untuk menarik pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang melakukan pembaikan kabel bawah laut. 

 

Baca : Malaysia rugi besar Facebook pilih negara jiran pasang kabel internet

 

Ini juga dilaporkan menjadi punca Facebook memilih negara jiran untuk memasang kabel internet dasar lautnya.

 

Baca : Keputusan Facebook tiada kaitan dengan dasar kabotaj Malaysia, kata Wee Ka Siong

 

Namun, Ka Siong menegaskan dakwaan itu tidak berasas dan tidak menggambarkan situasi sebenar secara menyeluruh. - DagangNews.com