Cadangan mekanisme penetapan tarif air bakal dibentang ke Kabinet | DagangNews Skip to main content

Cadangan mekanisme penetapan tarif air bakal dibentang ke Kabinet

KUALA LUMPUR 1 Nov - Kementerian sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim kini dalam proses mengemukakan cadangan ke Kabinet berhubung mekanisme bagi penetapan tarif air baharu.

 

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, terdapat konsensus sebulat suara daripada semua kerajaan negeri mengenai kenaikan tarif air kerana ada yang tidak mencatatkan sebarang kenaikan sejak 40 tahun lalu.

 

“Kerajaan sebelum ini membenarkan kenaikan tarif untuk pengguna bukan domestik, tetapi kita masih perlu menangani isu itu kerana banyak negeri kekurangan sektor perindustrian atau komersial,” katanya semasa ucapan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Nik Nazmi berkata, kementeriannya sedang membangunkan mekanisme yang akan menghapuskan keperluan untuk mendapatkan kelulusan menteri bagi pelarasan tarif.

 

"Kami akan membenarkan operator air menentukan kadar tarif, tetapi pada masa yang sama, kami masih akan melihat bagaimana kerajaan boleh menjaga kepentingan pengguna B40 dan M40," katanya.

 

Pada Mei lalu, Nik Nazmi berkata, kerajaan merancang menetapkan kadar maksimum bagi semakan semula tarif air berikutan permintaan daripada "dua hingga tiga" negeri bagi menaikkan tarif air domestik untuk kelestarian kewangan.

 

Walaupun pengendali air mempunyai kelonggaran dalam menentukan kadar, beliau berkata, mereka perlu memastikan kadar itu kekal di bawah kadar maksimum yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

 

Kerajaan sebelum ini bersetuju mengekalkan tarif air bagi premis kediaman di Semenanjung Malaysia dan Labuan berikutan peningkatan kos sara hidup.

 

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Jun 2022 bersetuju melaraskan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik dan kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Labuan, berkuat kuasa 1 Ogos, dengan purata kenaikan 25 sen bagi setiap meter padu.

 

Ia berikutan persetujuan Kabinet terhadap penggunaan mekanisme penetapan tarif bagi menyusun semula pengurusan bekalan air negara.

 

Mekanisme itu, yang dibangunkan oleh SPAN pada 2016, disifatkan sebagai mekanisme tarif air yang sistematik, adil dan telus bertujuan membimbing industri perkhidmatan air negara mencapai kemampanan jangka panjang. - DagangNews.com