Cadangan pelupusan anak syarikat Bumi Armada, MIDF semak turun anggaran pendapatan FY21 | DagangNews Skip to main content

Cadangan pelupusan anak syarikat Bumi Armada, MIDF semak turun anggaran pendapatan FY21

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 20 Jan - MIDF Research menyemak turun semula anggaran pendapatan FY21 bagi Bumi Armada Bhd sebanyak 1.2% susulan rancangan kumpulan untuk menjual empat anak syarikatnya di luar negara dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak AS$44.5 juta (RM186.6 juta).

 

MIDF Research berkata, Bumi Armada menjangkakan kesan ke atas susut nilai dalam pendapatan 3QFY21 sebanyak 5.5%. 

 

"Oleh itu, kami menyemak semula anggaran pendapatan FY21 kami ke bawah sedikit sebanyak -1.2%. 

 

"Kami bagaimanapun mengekalkan ramalan pendapatan FY22 dan FY23," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Cadangan pelupusan keseluruhan modal saham terbitan dan berbayar syarikat Ice Class Vessel Companies (ICVC) milik Bumi Armada iaitu Bumi Armada Marine Uray Pte Ltd (BAMU), Bumi Armada Marine Pokachi Ltd (BAMP), Bumi Armada Marine Naryan Mar Pte Ltd (BAMN), dan Bumi Armada Marine LLC (BAM) yang akan dijual kepada AC Management dan KN Holdings, yang merupakan sebahagian daripada PJSC Lukoil.

 

MIDF berkata, berdasarkan laporan kewangan 3QFY21 Bumi Armada, ICVC merekodkan kerugian gabungan cukai sebanyak RM56.6 juta dengan gabungan aset bersih RM219.9 juta. 

 

Kerugian pelupusan kira-kira RM25 juta dianggarkan hasil daripada cadangan pelupusan berkenaan, namun begitu, Bumi Armada menyatakan bahawa jualan itu akan menghasilkan aliran tunai yang membolehkan syarikat membayar balik dan mengurangkan hutang korporatnya, serta menggunakan semula dan menumpukan sumbernya pada perniagaan utamanya.

 

"Ia berhasrat untuk menggunakan AS$38 juta daripada hasil untuk membayar hutang, dengan AS$6.5 juta diketepikan untuk modal operasi. 

 

"Hasil pelupusan dijangka akan digunakan sepenuhnya dalam tempoh 3 bulan selepas diterima," katanya. 

 

Secara keseluruhannya, MIDF mengekalkan panggilan BELI Bumi Armada dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM0.72. -DagangNews.com