Cadangan pengambilalihan tidak menguntungkan Cahya Mata Sarawak, Maybank IB semak turun saham kepada 'pegang' | DagangNews Skip to main content

Cadangan pengambilalihan tidak menguntungkan Cahya Mata Sarawak, Maybank IB semak turun saham kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Mac - Cadangan pengambilalihan Scomi Oilfield Ltd. dijangka memberi risiko kepada pendapatan Cahya Mata Sarawak ekoran kedudukan syarikat tersebut yang tidak menguntungkan.

 

Ini mendorong Maybank Investment Bank (IB) Research menyemak turun penarafan saham Cahya Mata Sarawak kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.27 daripada RM1.84. 

 

Menurutnya, Scomi Oilfield dan unit operasinya mencatat kerugian sejak 3 tahun kewangan sebelum ini, AS$12.1 juta bagi tahun kewangan 2019 (FY19), AS$57 juta (FY20) dan AS$14.8 juta (FY21). 

 

Katanya, syarikat itu juga berada dalam kedudukan liabiliti bersih berjumlah AS$38.6 juta setakat akhir FY21. 

 

"Pelan pemulihan syarikat juga tidak dinyatakan, malah, perincian imbangan tunai termasuk tahap hutang juga tidak ada. 

 

"Selain risiko pendapatan, kami juga bimbang tentang hakisan imbangan tunai Cahya Mata Sarawak kerana ia menyatukan kewangan syarikat yang diambil alih.

 

"Ini juga termasuklah, lanjutan suntikan ekuiti (jika ada) tidak diketahui yang diperlukan Cahya Mata Sarawak," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Jumaat, Cahya Mata Sarawak melalui anak syarikat miliknya, Cahya Mata Oiltools Sdn. Bhd. dan Oiltools International Sdn. Bhd. memeterai 4 perjanjian jual beli bersyarat dengan Scomi Energy Services Bhd. bagi memperoleh Scomi Oilfield pada harga RM21 juta.

 

Cadangan pengambilalihan itu bersama pelbagai syarikat dan aset dalam Scomi Oilfield dijangka selesai pada suku ketiga 2022.

 

Pemerolehan itu mewakili pelaburan strategik dengan potensi sinergi bagi perniagaan sedia ada CMSB serta peluang untuk mempelbagaikan ke dalam sektor tenaga global. 

 

Menurut Maybank IB, kumpulan juga berhasrat untuk memanfaatkan kehadiran global Scomi Oilfield di 15 pasaran di seluruh Asia, Timur Tengah, Eropah dan Afrika untuk mengembangkan pelanggan Cahya Mata Sarawak.

 

"Bagaimanapun, kami tidak melihat sebarang sinergi dan pertambahan nilai yang dibawa oleh pengambilalihan ini, buat masa ini," jelasnya. 

 

Setakat 11.24 pagi ini, harga saham Cahya Mata Sarawak menokok 1 sen atau 0.9% kepada RM1.12 dengan 707,800 saham diniagakan. - DagangNews.com