Cadangan penggabungan Celcom-Digi kini menanti kelulusan MCMC | DagangNews Skip to main content

Cadangan penggabungan Celcom-Digi kini menanti kelulusan MCMC

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Cadangan penggabungan antara DiGi.Com Bhd (Digi) dan Celcom Axiata Bhd (Celcom) telah diterima secara rasmi dan kini menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Kedua-dua syarikat telekomunikasi itu berkata, Digi telah mengadakan perbincangan dengan MCMC bagi memulakan proses penilaian penggabungan selaras dengan garis panduan suruhanjaya itu mengenai penggabungan dan pengambilalihan.

 

“Oleh itu, permohonan penggabungan itu telah diterima secara rasmi oleh MCMC untuk penilaiannya mengikut garis panduan tersebut. 

 

"Penyelesaian bagi cadangan penggabungan ini, antara lain, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta pemegang saham Axiata dan Digi," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pada Jun lalu, Axiata Group Bhd., Telenor Asia Pte. Ltd. dan Digi memuktamadkan kajian daya maju pelaburan dan memeterai perjanjian transaksi bagi pelaksanaan cadangan penggabungan Celcom dan Digi (MergeCo).

 

Pemeteraian perjanjian transaksi itu mengesahkan hasrat untuk mewujudkan penyedia perkhidmatan bersepadu digital yang lebih utuh dan lebih berdaya tahan, dan menjadi peneraju pengendali telekomunikasi Malaysia dalam memacu cita-cita digital negara ini.

 

Berdasarkan asas proforma, MergeCo dijangka mempunyai pelanggan kira-kira 19 juta dengan pendapatan sebanyak RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai RM1.9 bilion dan aliran tunai sejumlah RM4.0 bilion.

 

Penggabungan Celcom-Digi akan menyaksikan Axiata dan Telenor masing-masing menguasai 33.1% pegangan dan syarikat bergabung itu akan terus disenarai di Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Sebelum itu, Axiata menjangkakan MCMC akan mengambil masa selama 5 bulan untuk membuat semakan mengenai cadangan penggabungan berkenaan. - DagangNews.com