Cadangan perkenalkan kuota, insentif mudahkan golongan belia Perak beli rumah mampu milik | DagangNews Skip to main content

Cadangan perkenalkan kuota, insentif mudahkan golongan belia Perak beli rumah mampu milik

Rumah Perakku merupakan inisiatif kerajaan Perak untuk menyediakan kediaman pada harga mampu milik.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 28 Dis - Kerajaan negeri Perak boleh menyediakan kuota dan insentif khas kepada golongan belia untuk membeli kediaman menerusi skim Rumah Perakku bagi membolehkan golongan tersebut memiliki kediaman.

 

Rumah Perakku adalah satu inisiatif daripada kerajaan negeri Perak untuk membantu warga negeri ini membeli rumah pertama mereka pada harga mampu milik.

 

Harga yang ditawarkan bagi Rumah Perakku bermula daripada RM90,000 ke bawah bagi rumah kos rendah manakala RM150,000 untuk rumah kos sederhana.

 

Ahli Dewan Belia Negeri Perak, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, perkara tersebut antara yang diusulkan pada sesi Sidang Dewan Belia Negeri Perak minggu lalu.

 

Aliff
Syed Alif Rikiman 

 

Menurut beliau, usul itu dibawa di bawah Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memperkasa pemilikan rumah dalam kalangan belia negeri itu.

 

“Kita mencadangkan pelaksanaan moratorium bersasar, pemberian subsidi khas 10% dan kuota 30% belia manakala 70% untuk komuniti bagi projek perumahan seliaan agensi kerajaan negeri.

 

“Usul ini adalah perancangan jangka masa panjang dalam usaha untuk melihat masa depan negeri Perak berada pada satu tahap kesejahteraan dan keselesaan belia Perak.

 

“Ia berteras kepada strategi termasuk dasar perumahan belia dengan berteraskan celik kewangan untuk tabungan perumahan seawal umur 13 tahun,” ujarnya.

 

Rumah
Kuota khas membolehkan golongan belia diberikan peluang membeli rumah mampu milik dengan syarat yang ditetapkan.

 

Jelas Syed Alif, jawatankuasa tersebut yakin bahawa usul ini dapat menjadi pemangkin kepada Pelan Perak Sejahtera 2030 atas dasar ekonomi dan kesejahteraan rakyat Perak. 

 

“Kedua-dua segmen ini saling berkait rapat dalam memastikan negeri Perak terus pesat membangun selaras program flagship kedua iaitu Perumahan Sejahtera.

 

“Dengan adanya fokus pada golongan belia, maka kelompok ini tidak dipinggirkan selain dapat merancang memiliki rumah yang dibina oleh kerajaan negeri mengikut syarat ditetapkan,” ujarnya. - DagangNews.com