Cadangan semakan semula subsidi, kawalan harga pengaruhi trajektori permintaan dan inflasi - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Cadangan semakan semula subsidi, kawalan harga pengaruhi trajektori permintaan dan inflasi - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan cadangan semakan semula kerajaan terhadap kawalan harga dan subsidi pada tahun hadapan akan mempengaruhi terhadap trajektori permintaan pengguna dan inflasi.

 

Bagaimanapun, katanya, garis masa yang khusus dan butiran terperinci mengenai tarikh pelaksanaan langkah Belanjawan 2024 masih belum diketahui.

 

"Kami juga percaya bahawa prospek inflasi domestik tertakluk kepada pelbagai faktor yang memerlukan penelitian terperinci bagi jangka pendek.

 

"Ia merangkumi peningkatan bantuan tunai, sekatan perdagangan serantau, terutamanya larangan eksport beras dan gula, ketegangan geopolitik yang berterusan, selain jangkaan kadar faedah global yang lebih tinggi yang berpanjangan.

 

"Keadaan itu mungkin mengekalkan susut nilai mata wang dalam keadaan kewangan global yang lebih ketat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Tiada sebarang kenaikan, BNM kekal OPR pada kadar 3%

 

Firma penyelidikan itu berkata, Belanjawan 2024 menunjukkan hasrat kerajaan bagi melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api berperingkat, dengan penekanan khusus pada diesel, sebagai pendekatan bagi menangani ketirisan.

 

Katanya, keputusan itu disokong oleh data yang menggambarkan peningkatan 40% dalam jualan diesel bersubsidi bermula 2019 hingga sekarang, walaupun pertumbuhan kecil kurang daripada 3% dalam bilangan kenderaan diesel.

 

"Harga tetap semasa diesel bersubsidi pada RM2.15/liter, berbeza sekali dengan kadar pasaran RM3.75/liter, menghasilkan subsidi kerajaan sebanyak RM1.60/liter, bersamaan dengan jumlah anggaran RM1.5 bilion.

 

"Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai rasionalisasi subsidi petrol RON95 secara bersasar," katanya.

 

PublicInvest menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada paras 3% sekurang-kurangnya hingga suku kedua 2024.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan bahawa OPR sedia ada sejajar dengan pendirian dasar monetari yang menyokong ekonomi, selaras dengan penilaian semasa prospek inflasi dan pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com