Cadangan tambah saham dalam RAM mampu tingkatkan 4-5% pendapatan CTOS Digital bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Cadangan tambah saham dalam RAM mampu tingkatkan 4-5% pendapatan CTOS Digital bagi FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif dengan cadangan CTOS Digital Bhd. untuk membeli 80,000 dan 1.57 juta saham RAM Holdings Bhd. daripada Deutsche Bank (M) Bhd. dan Dragonline Solutions Sdn. Bhd. masing-masing pada harga RM2.28 juta dan RM44.6 juta.

 

Firma itu berpendapat urus niaga berkenaan adalah menarik memandangkan RAM dinilai pada harga perusahaan (PE) 20.4 kali dengan diskaun 19% kepada purata agensi penarafan kredit global tersenarai lain sebanyak 25.1 kali. 

 

Selain itu, katanya, ia merupakan penambahan pemerolehan (melihat pada penilaian CTOS yang lebih tinggi sebanyak 44.9 kali) walaupun dibiayai oleh pinjaman (dengan mengandaikan kos hutang sebanyak 4%).

 

"Bagi kami, tiada sebarang kejutan kerana ini adalah selaras dengan apa yang dimaklumkan sebelum ini yang mana sebarang kepentingan tambahan dalam RAM akan dibeli pada harga tidak melebihi RM28.50 sesaham.

 

"Bagaimanapun, kami memahami bahawa RAM mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan dividen istimewa kerana ia boleh menjana kewangan daripada hartanah pelaburan bernilai RM67 juta dan mempunyai tabung tunai bersamaan RM131 juta (nilai gabungan RM19.80 sesaham).

 

"Jika cadangan ini menjadi kenyataan, ia akan membantu CTOS untuk mengimbangi sebahagian daripada kos pengambilalihannya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, CTOS berkata, cadangan pembelian itu, masing-masing mewakili 0.8% dan 15.65% daripada jumlah modal saham berbayar dalam RAM, 'akan dibiayai sepenuhnya oleh pembiayaan bank dan tiada liabiliti, liabiliti luar jangka dan jaminan yang perlu ditanggung oleh CTOS, daripada pembelian itu.'

 

Pembelian kepentingan dalam RAM akan membolehkan CTOS mencapai pegangan saham majoriti dalam RAM. 
Susulan daripada pembelian yang disebutkan di atas daripada Deutsche dan Dragonline, kepentingan ekuiti CTOS dalam RAM akan meningkat daripada 39.13% kepada 55.58%.

 

Berdasarkan anggaran HLIB dengan penambahan pegangan itu dan kos hutang 4%, ia mampu meningkatkan pendapatan CTOS antara 4 hingga 5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap CTOS dengan harga sasaran pada RM1.70 sesaham. 

 

Setakat 12.16 tengah hari, harga saham CTOS menokok 3 sen atau 2.11% kepada RM1.45 dengan 869,800 saham diniagakan. - DagangNews.com