Cadbury dinobatkan jenama makanan nombor satu paling pesat berkembang di Malaysia oleh Kantar | DagangNews Skip to main content

Cadbury dinobatkan jenama makanan nombor satu paling pesat berkembang di Malaysia oleh Kantar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Cadbury Dairy Milk, jenama coklat kesukaan ramai di bawah Mondelēz International telah dinobatkan sebagai jenama makanan nombor satu yang paling pesat berkembang di Malaysia oleh Kantar, sebuah syarikat data, pandangan dan perundingan terkemuka di dunia. 

 

Edisi terkini laporan Asia Brand Footprint 2022 oleh Kantar 2022 mendedahkan, keutamaan pengguna terhadap jenama itu telah meningkat sebanyak 21% pada tahun 2021 , yang merupakan rekod tertinggi dalam kategori berkenaan.

 

Pertumbuhan itu adalah hasil inovasi jenama yang konsisten dan mengutamakan keperluan pengguna, membolehkannya bertindak balas secara tepat kepada permintaan pasaran, khususnya di tengah-tengah peralihan dicetuskan oleh pandemik.

 

Pengarah Urusan (Malaysia dan Singapura) di Mondelēz International, Narmeen Khan berkata, di Mondelēz mereka sentiasa membayangkan dan mengolah semula tawaran, keupayaan dan capaian untuk memenuhi cita rasa serta keperluan pengguna yang sering berubah. 

 

"Ini merupakan dan akan kekal menjadi satu komitmen yang memberikan kami kekuatan dan ketangkasan untuk menawarkan snek yang betul, untuk masa yang betul dan diperbuat dengan cara yang betul.

 

"Dengan penuh penghargaan terhadap sokongan padu daripada pengguna di sini, pencapaian ini meraikan sokongan berterusan yang kami terima daripada rakyat Malaysia. Merekalah yang menjadikan Cadbury Dairy Milk coklat pilihan dan kegemaran isi rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Laporan itu mengukur kadar pembelian pengguna untuk jenama Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG). 

 

 

cadbury
Narmeen Khan

 

 

Dapatannya mencerminkan pelaburan berterusan Mondelēz dalam pengedaran dan pendedahan pelbagai saluran, yang telah memperluaskan kehadiran jenama itu merentasi titik sentuhan pengguna termasuk pasar raya besar, pusat beli-belah, pasar mini dan laman e-dagang.

 

Ketua Pemasaran (Malaysia & Singapura) di Mondelēz International, Arpan Sur pula berkata, keupayaan untuk memahami nilai, tingkah laku dan keutamaan pengguna Malaysia yang sering berubah menyumbang kepada pertumbuhan jenama dan kedudukannya sebagai peneraju dalam kategori berkenaan selama ini. 

 

“Mondelēz menggunakan pendekatan ‘manusiawi’ (‘humaning’) kami yang unik bagi memupuk hubungan dan pemahaman lebih mendalam dengan pengguna kami, yang membantu kami membangun dan menyesuaikan tawaran kami untuk memenuhi keperluan mereka pada bila-bila masa,” katanya.

 

 

cadbury
Arpan Sur

 

 

Mondelēz International memiliki kemudahan pengeluaran Cadbury di Shah Alam yang turut membekalkan produk-produknya ke pasaran lain dalam rantau Asia Tenggara. 

 

Ini sekali gus membolehkannya terus memperkenalkan citarasa tempatan bagi memenuhi kepelbagaian selera Malaysia, termasuk Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut, Kopi-C, dan Durian. - DagangNews.com