Cagamas muktamadkan bon kadar terapung pertama di Malaysia berdasar rujukan kadar semalaman | DagangNews Skip to main content

Cagamas muktamadkan bon kadar terapung pertama di Malaysia berdasar rujukan kadar semalaman

KUALA LUMPUR 5 Julai - Cagamas Berhad memuktamadkan nota jangka sederhana konvensional (CMTN) kadar terapung bertempoh satu tahun bernilai RM200 juta, bon kadar terapung pertama berdasarkan rujukan kadar semalaman Malaysia (MYOR).

 

MYOR ialah kadar rujukan alternatif (ARR) baharu untuk Malaysia yang dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada September 2021.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chung Chee Leong berkata, hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan daripada sistem kewangan.

 

“CMTN satu tahun bernilai RM200 juta yang dimuktamadkan berdasarkan pada MYOR ditambah 83 mata asas itu telah menjadikan jumlah terbitan syarikat dari awal tahun sehingga kini berjumlah RM8.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, terbitan yang berjaya dimuktamadkan itu turut mencerminkan komitmen kukuh syarikat untuk menyokong perkembangan baharu yang diperkenalkan oleh BNM untuk pasaran kewangan.

 

“Terbitan ini juga merupakan langkah penting dalam memacu penggunaan kadar penanda aras baharu bagi instrumen kewangan di Malaysia.

 

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pengawal selia, rakan kongsi industri dan pelabur untuk peralihan yang lancar berhubung dengan ARR,” katanya.

 

Terbitan-terbitan itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang.

 

Ia merupakan obligasi tidak bercagar perbadanan itu, pada kedudukan sama rata dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain di bawah Cagamas. - DagangNews.com