Cagamas terbit bon RM1.04 bilion biayai pembelian rumah | DagangNews Skip to main content

Cagamas terbit bon RM1.04 bilion biayai pembelian rumah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Berhad memuktamadkan terbitan tiga jenis bon dan sukuk dengan nilai agregat RM1.045 bilion. 

 

Ini terdiri daripada RM345 juta bagi Kertas Komersial Islam (ICP) 3-bulan; Kertas Komersial Konvensional (CCP) 3-bulan bernilai RM300 juta dan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 3-tahun yang bernilai RM400 juta. 

 

Jelas syarikat itu, hasil daripada terbitan berkenaan akan digunakan untuk membeli pembiayaan rumah dan pinjaman kediaman daripada sistem kewangan. 

 

“Kami berbesar hati dengan kejayaan syarikat memuktamadkan terbitan tersebut, disokong oleh permintaan yang menggalakkan daripada pelabur,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Chung Chee Leong
Chung Chee Leong

 

Jumlah terbitan baharu itu membawa nilai terkumpul terbitan Cagamas bagi tahun ini mencecah RM4.4 bilion. 

 

Kertas yang boleh ditebus semula pada nilai nominal penuh setelah mencapai tahap matang itu, merupakan tanggungan yang tidak dijamin oleh syarikat, kadar setara atau 'pari passu' dan semua tanggungan tidak terjamin oleh syarikat yang sedia ada.

 

Ia akan disenaraikan dan didagangkan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Scripless.

 

“Kami teruja dengan sokong tinggi, terbukti oleh sambutan luar biasa nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) sebanyak 2.26 kali, membolehkan syarikat menentukan kadar hasil IMTN daripada garis panduan harga awal 2.85% kepada 2.78%, dan mencatatkan tebaran 42 mata asas (bps) berbanding Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).

 

“Kedua-dua ICP dan CCP ditetapkan pada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) 3-bulan ditambah 5bps, atau bersamaan 1.99% berdasarkan tetapan KLIBOR.

 

“Ini juga 19 bps lebih besar berbanding Bil Perbendaharaan Islam Malaysia/ Bil Perbendaharaan Malaysia,” katanya lanjut. - DagangNews.com