KUCHING 7 Ogos – Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) mengumumkan persaraan pengarah bukan eksekutif bukan bebas, Datuk Isaac Lugun berkuatkuasa hari ini.
Menurut CMS, Isaac, 64, menyertai Lembaga Pengarah syarikat itu pada Januari 1996 dan kemudiannya dilantik sebagai ketua pegawai korporat kumpulan CMS pada Ogos 2017.
Isaac dilantik menjadi pengarah urusan kumpulan pada Oktober 2019. Beliau ditukar sebagai pengarah bukan eksekutif buka bebas pada 8 Julai lalu, serentak dengan pengumuman pelantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sebagai Pengarah Urusan baharu CMS.
Sulaiman dilantik sebagai pengarah urusan Cahya Mata Sarawak
“Isaac bertanggungjawab membangunkan dan melaksanakan pelan strategik kumpulan yang diluluskan oleh lembaga pengarah dan menguruskan keseluruhan operasi kumpulan seiring dengan pelan strategik untuk manfaat semua pemegang saham,” kata CMS dalam pernyataan di Bursa Malaysia.
Ketika pasaran ditutup Jumaat, saham CMS susut 1 sen atau 0.93% ke paras RM1.07, memberi nilai kumpulan syarikat itu kepada RM1.15 bilion. Kira-kira 3.43 juta saham diniagakan. Saham syarikat ini menyusut 14.4% sejak sebulan ini. – DagangNews.com