KUALA LUMPUR 25 Feb - Dalam usaha untuk menghehadkan pendaftaran masuk menggunakan kaunter di lapangan terbang seluruh Malaysia, AirAsia dilaporkan akan menaikkan caj pendaftaran dikaunter sebanyak lima kali ganda kepada RM100 berbanding RM20 dan RM30 sebelum ini bermula 1 Mac 2022.
Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter di semua lapangan terbang di Malaysia dihadkan kepada tetamu terpilih sahaja bermula 1 April 2022.
AirAsia berkata, usaha itu dibuat selepas mereka meraih pencapaian besar selepas 95% daripada keseluruhan tetamunya kini beralih untuk mendaftar masuk melalui airasia Super App dan laman web, satu inisiatif yang diwajibkan atas semua penumpang semasa kemuncak pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, daftar masuk untuk penerbangan melalui airasia Super App adalah percuma sepenuhnya dan boleh dilakukan dengan hanya beberapa langkah mudah.
Beliau berkata, aplikasi itu membolehkan tetamu menambah bagasi, hidangan dalam penerbangan, insurans perjalanan dan memilih tempat duduk selain mendaftar masuk untuk penerbangan seawal 14 hari sebelum tarikh pelepasan.
“Setelah selesai mendaftar masuk, mereka akan menerima pas masuk elektronik dalam aplikasi tersebut yang boleh digunakan untuk menaiki penerbangan mereka.
"Mereka juga akan menerima kod QR yang boleh digunakan untuk mencetak tag bagasi di kiosk tanpa sentuhan di lapangan terbang sebelum mendaftar masuk bagasi secara kendiri.
"Tetamu tanpa bagasi daftar masuk pula boleh terus ke pintu pelepasan dengan mengemukakan pas masuk elektronik dan kad pengenalan atau pasport mereka. Bagi tetamu dengan tempahan perjalanan berkumpulan, mereka boleh mendaftar masuk bagi pihak ahli kumpulan yang lain," katanta dalam satu kenyataan, hari ini.
Riad berkata, pendekatan itu adalah usaha berterusan kumpulan itu mencapai penggunaan 100% bagi inisiatif tanpa sentuhan dan pihaknya akan meneruskan kempen pendidikan mengenai faedah daftar masuk kendiri dan penggunaan airasia Super App melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk media sosial, mel elektronik dan pengumuman melalui aplikasi tersebut.
Katanya, airasia Super App adalah percuma sepenuhnya dan ia boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery tanpa sebarang kos.
Dengan penutupan perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter secara beransur-ansur, tiada caj daftar masuk melalui kaunter akan dikenakan mulai 1 April 2022 kerana hanya tetamu yang layak dalam kategori berikut akan diterima di kaunter:
- Warga emas berusia 70 tahun ke atas
- Tempahan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan melalui Waran Kerajaan
- Tetamu penerbangan sewa khas
- Tetamu kurang upaya yang memegang kad OKU yang sah
- Tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih
- Tetamu perseorangan bawah umur (12-16 tahun)
- Tetamu yang terjejas akibat perubahan jadual dan pembatalan penerbangan
- Tetamu yang terjejas akibat gangguan sistem airasia Super App, laman web atau kiosk
- Tetamu yang tidak diberikan tempat duduk semasa daftar masuk kendiri
- Tetamu Corporate Full Flex dan Premium Flex
AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama dua tahun lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya.
AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. - DagangNews.com