Caj gunakan kod QR tidak bebankan golongan berpendapatan rendah - PM | DagangNews Skip to main content

Caj gunakan kod QR tidak bebankan golongan berpendapatan rendah - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran Postnormal Times di Pusat Jazz dan Seni KL pada 29 September 2023. Turut hadir Pengarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) Asia Timur dan Tenggara Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin dan Penolong Pengarah Kajian Hadapan dan Polisi Pascanormal Scott Jordon. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata apa-apa caj bagi transaksi pembayaran menggunakan kod QR tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

 

Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, semalam.

 

"Itu saya sudah bincang dengan Gabenor semalam, mengikut beliau (Gabenor), penjelasan akan diberikan, tidak akan membebankan golongan bawahan," katanya kepada media pada Pameran Postnormal Times di Kl Jazz & Art, di Wisma YPR, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri ditanya mengenai pelaksanaan caj bagi pembayaran menggunakan platform kod QR Duitnow mulai 1 November ini.

 

Semalam, pengendali platform pembayaran melalui kod QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.

 

Mengulas mengenai sama ada caj penggunaan kos QR itu akan ditarik balik, Anwar menegaskan perkara itu bergantung kepada keputusan BNM.

 

Katanya, BNM yang bertanggungjawab berhubung perkara itu.

 

"Itu (tarik balik caj) keputusan BNM, jadi Bank Negara ada tugasnya, biar dia laksanakan tugasnya.

 

"Sekarang yang penting (caj) tidak akan membebankan golongan pendapatan rendah," katanya. - DagangNews.com