Camelia, hasil inovasi TM R&D menangi anugerah antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Camelia, hasil inovasi TM R&D menangi anugerah antarabangsa

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Telekom Research & Development Sdn. Bhd. (TM R&D) baru-baru ini menggondol anugerah Penyedia Perkhidmatan Infrastruktur Digital Paling Inovatif di Malaysia untuk penyelesaiannya yang dikenali sebagai Camelia sempena Global Business Outlook Awards 2021 yang berpusat di United Kingdom.

 

Anugerah ini diberikan kepada TM R&D, yang merupakan cabang inovasi Telekom Malaysia Bhd. (TM) sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya dalam membangunkan Camelia. 

 

Inovasi ini akan menjadi salah satu pemacu transformasi digital bagi pengendali rangkaian untuk mengendalikan proses menyeluruh (end-to-end) untuk jaminan perkhidmatan di TM.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, dengan memenangi anugerah ini di peringkat global menggambarkan komitmen berterusan mereka untuk membangunkan penyelesaian bersama Kumpulan TM.

 

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada usaha kerjasama untuk memastikan kejayaan penerimaan  Kecerdasan Buatan (AI) dan inovasi digital dalam kalangan pihak berkepentingan.

 

“Terima kasih kepada pasukan Operasi Rangkaian, Pengalaman Pelanggan dan Teknologi Maklumat & Digital di TM atas sokongan berterusan mereka dan untuk menggunapakai Camelia dalam operasi mereka yang kami percaya akhirnya akan membawa kepada pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan. 

 

"Pengiktirafan ini memberi kami semangat dan mendorong kami untuk meneroka lebih banyak inovasi untuk Kumpulan TM bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat, perniagaan, industri dan Kerajaan yang lebih digital, ke arah memacu Digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Camelia merupakan sebuah platform analitik pintar yang dapat memberi situasi prestasi rangkaian, diagnostik dan pengenalpastian sebarang kerosakan serta dapat meramal potensi gangguan perkhidmatan dan talian sehingga 30 hari lebih awal.

 

Selain itu, Camelia turut memberikan peringatan amaran awal yang akan membantu mengubah pemproses daripada memproses pengesanan masalah bersifat reaktif kepada bersifat proaktif dengan tujuan peningkatan kualiti perkhidmatan dan penyelesaian insiden yang lebih cepat. 

 

Sebagai pemacu, Camelia diintegrasikan dengan sistem operasi lain untuk memantau kesemua talian pelanggan selama 24 jam dan memberikan pengesanan awal. 

 

Penyaringan awal turut mampu mengklasifikasikan masalah sama ada ia berlaku pada peringkat elemen rangkaian fizikal atau peringkat perkhidmatan.

 

Global Business Outlook Awards mengiktiraf dan memberi penghargaan bagi kecemerlangan dalam perniagaan di seluruh dunia. 

 

Ia direka untuk memudahkan urusan perniagaan dan peneraju perniagaan yang cemerlang merentas pelbagai industri, menilai tahap kerja mereka dari segi prestasi, inovasi dan dorongan untuk mencipta nilai industri.

 

Lebih membanggakan, anugerah itu adalah kali kedua yang diterima TM R&D di peringkat antarabangsa pada tahun ini atas hasil kerjanya membangunkan ekosistem AI dan digital bagi menyokong industri telekomunikasi, yang merupakan langkah ke hadapan dalam mencapai misinya untuk membangunkan ekosistem digital yang lebih pintar. - DagangNews.com