Canon Malaysia sumbang RM25,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk bantu mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Canon Malaysia sumbang RM25,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk bantu mangsa banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Canon Marketing Malaysia menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) bagi membekalkan barangan keperluan kepada rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.

 

Bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak dua minggu lalu membawa kemusanahan kepada ribuan rumah di seluruh negara.

 

Menerusi bantuan itu, MRCS dapat menggiatkan usaha mengagihkan barangan makanan dan bekalan perubatan terutama di Selangor yang paling teruk terjejas.

 

Ketua Setiausaha MRCS, Hakim Hamzah berkata, bencana banjir berkenaan telah membawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda milik penduduk setempat. 

 

"Ramai mangsa yang masih tinggal di pusat penempatan sementara. Kami menghargai usaha Canon yang menawarkan bantuan dalam menyokong usaha kemanusiaan kami. 

 

"Sumbangan itu membolehkan kami membantu rakyat membina kembali kehidupan mereka," katanya.

 

pbsm

 

Pada masa sama, Canon juga menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada kakitangan mereka yang terjejas akibat banjir.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Andrew Koh berkata, beliau terharu dengan dedikasi yang dipamerkan kakitangan syarikat dalam membantu rakan sekerja serta komuniti yang terjejas.

 

pms

 

Beliau berkata, ia bertepatan dengan falsafah korporat Canon, Kyosei yang memberi tumpuan kepada konsep hidup dan bekerjasama untuk mencapai manfaat yang boleh dinikmati bersama.

 

“Kami berbesar hati untuk menyokong organisasi bukan berasaskan keuntungan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang telah memainkan peranan yang aktif untuk membantu mangsa-mangsa bencana ini," katanya. - DagangNews.com