Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Dis - Peruntukan perbelanjaan modal (capex) Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang dijangka sekitar RM40 hingga RM45 bilion setahun bagi tempoh 5 tahun dilihat memadai untuk membantu sektor minyak dan gas (O&G) kembali pulih pada 2022, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Dalam laporan prospek sektor O&G untuk 2022, penganalisisnya, Jeremy Yap berkata, bagaimanapun, peruntukan itu masih rendah berbanding 2018/2019, sebelum tercetusnya pandemik COVID-19 awal tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah capex tahunan itu, sebanyak 9% (kira-kira RM3.6 hingga RM4.1 bilion) akan diperuntukkan untuk inisiatif tenaga baharu.
"Petronas juga sebelum ini berhasrat untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050, tetapi masih percaya bahawa minyak dan gas membentuk 50% daripada tenaga campuran global bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
"Pada masa sama, syarikat O&G negara ini juga menyasarkan untuk meningkat perbelanjaan domestik sebanyak 55% daripada capex tersebut (kira-kira RM22 hingga RM25 bilion) manakala selebihnya untuk program antarabangsa," katanya hari ini.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' bagi sektor O&G dengan pilihan utamanya saham Bumi Armada Bhd. dan Dialog Group Bhd. masing-masing dengan saranan 'beli' dan harga sasaran 84 sen dan RM3.38 sesaham.
Bumi Armada memiliki kelebihan dari segi kedudukannya dalam perniagaan kemudahan terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang menyediakan pendapatan berulang dan peningkatan pantas dalam profail hutang.
Dialog pula mempunyai model perniagaan pendapatan berulang dan dilihat sebagai satu-satunya saham pertumbuhan sekular yang tersenarai dalam ruang O&G tempatan.
Menurut Yap, unjuran harga minyak mentah Brent pada 2022 juga diunjur kekal pada paras AS$70 hingga AS$75 setong kerana Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) akan menyediakan keseimbangan yang baik untuk harga minyak mentah.
"Kami melihat bahawa lebihan bekalan pada separuh pertama tahun hadapan akan berkurangan (walaupun tidak sepenuhnya) disebabkan peningkatan permintaan produk O&G daripada pembukaan semula ekonomi secara global.
"Ini ditambah pula dengan program OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran minyak secara beransur-ansur sebanyak 400,000 tong sehari dan pengurangan berperingkat sepenuhnya menjelang September 2022, akan meningkatkan harga minyak yang stabil dalam julat AS$70 hingga AS$75 setong," jelasnya.
Beliau turut menjangkakan varian Omicron hanya akan memberi kesan kepada permintaan bahan api jet dalam jangka masa terdekat berikutan sekatan perjalanan, walaupun dunia telah melangkah jauh dan lebih bersedia untuk menguruskan COVID-19 dan cabaran berkaitan pandemik ini. - DagangNews.com