Capex Unisem dijangka meningkat untuk raih pelanggan baharu - MIDF | DagangNews Skip to main content

Capex Unisem dijangka meningkat untuk raih pelanggan baharu - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Unisem (M) Berhad dijangka terus meningkatkan perbelanjaan modal (capex) untuk menyokong usaha pengembangan kumpulan selain perancangannya untuk memperoleh pelanggan baharu. 

 

Ini susulan prospek penggunaan dan aplikasi semikonduktor dijangka bertambah baik pada masa akan datang, menurut MIDF Research. 

 

Unisem telah menyaksikan capex kumpulan mencecah RM156.0 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21), iaitu lonjakan 90.9% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Ini terutamanya bagi memenuhi pengembangan kapasiti kilangnya bagi pemasangan dan ujian di Chengdu, China serta Ipoh, Perak, sekali gus mendorong kepada capex lebih tinggi pada separuh pertama FY21 (1HFY21) sebanyak RM293.7 juta atau lonjakan 76.4% tahun ke tahun.

 

“Kami meletakkan (unjuran) hasil lebih tinggi bagi FY21 dan FY22, berdasarkan permintaan kukuh produk dan perkhidmatan terutamanya pembungkusan ‘wafer level’ dan sistem mikro-elektro-mekanikal (MEM) bertompok. 

 

“Oleh itu, unjuran perolehan bagi FY21 dan FY22 telah ditingkatkan, masing-masing sebanyak 21.7% dan 13.1% kepada RM233.4 juta dan RM265.5 juta,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Perolehan Unisem bagi suku tahun semasa melonjak kepada RM56.9 juta daripada RM33.9 juta yang dicatatkan bagi 2QFY20, sekali gus menyaksikan lonjakan ketara 67.6%. 

 

Ini terutamanya dipacu oleh jumlah jualan dan purata harga jualan (ASP) lebih tinggi, selain daripada pendapatan faedah yang lebih baik.

 

MIDF menyemak naik saranan saham Unisem daripada ‘neutral’ kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) turut ditingkatkan kepada RM10 daripada RM8.62.

 

Senada itu, CGS-CIMB Research terus mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Unisem dengan TP tidak berubah pada kadar RM10.50 sesaham. 

 

Penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam melihat terdapat potensi peningkatan dari segi jualan kumpulan pada 3QFY21 yang dipacu oleh pergerakan pertukaran mata wang asing (forex) yang lebih baik susulan susut nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$). 

 

Katanya, setiap 10% penyusutan ringgit berbanding AS$ akan meningkatkan keuntungan bersih kumpulan bagi FY21 hingga FY23 sebanyak 22% hingga 24%.

 

“Unisem juga mencadangkan terbitan bonus (saham) 1 kepada 1 untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya. Kami positif terhadap terbitan bonus ini. 

 

“Walaupun ia tidak mengubah asas syarikat, namun kami menjangkakan langkah korporat ini akan meningkatkan kecairan saham dan menambah baik sentimen perdagangan jangka pendek,” ujar Mohd Shanaz.

 

Penganalisis di Kenanga Research, Samuel Tan juga percaya momentum positif bakal ditonjolkan pada 3QFY21 dengan pertumbuhan dari segi perbandingan suku tahun dapat dilihat susulan permintaan daripada pelanggan utama di Chengdu yang sangat kukuh. 

 

Bagi memenuhi lonjakan tempahan daripada pelanggannya, jelas Tan, kumpulan telah memulakan perluasan Fasa 3 di Chengdu sejak awal Julai 2021 dan dijangka selesai pada 4QFY22. 

 

Beralih kepada kilang Unisem di Ipoh pula, penggunaan bagi kesemua pembungkusannya difahamkan pada tahap optimum, kecuali kemudahan bumping yang masih di tahap kurang optimum kerana pemuatan wafer dari pelanggan tidak mencukupi.

 

Kata Tan, kumpulan bagaimanapun yakin bahawa permintaan memberangsangkan di operasinya di Chengdu akan mengimbangi kekurangan tersebut. - DagangNews.com