Capital A lantik Surina Shukri sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif | DagangNews Skip to main content

Capital A lantik Surina Shukri sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

Surina Shukri juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MDEC
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Capital A mengumumkan pelantikan Surina Shukri sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan syarikat itu, berkuat kuasa 31 Januari lepas. 

 

Surina sebelum ini merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi utama kerajaan untuk pembangunan ekonomi digital negara. 

 

Baru-baru ini, beliau telah dinamakan antara 50 Personaliti Paling Berpengaruh di Dunia yang Merevolusikan Tadbir Urus dalam senarai sulung Agile 50 oleh Apolitical & World Economic Forum's Global Future Council on Agile Governance. 

 

Beliau membawa bersama lebih dua dekad pengalaman merentasi pelbagai syarikat dan industri dalam kedua-dua sektor swasta dan awam.

 

Surina berkata, beliau gembira menyertai Lembaga Pengarah Capital A dan sentiasa mengagumi AirAsia kerana daya tahan, semangat keusahawanan dan inovatifnya. 

 

"Dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun yang paling sukar dalam sejarah penerbangan komersial, namun AirAsia terus berinovasi dan berubah daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital sehenti. 

 

"Dengan pasukan kepimpinan yang kukuh, disokong oleh kumpulan pengarah bebas baharu yang kuat, saya teruja untuk membantu membina syarikat ini menjadi juara global. Ini adalah masa paling mengujakan untuk menyertai AirAsia dalam revolusi seterusnya mengharungi era digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Surina, yang membawa pengalaman luas dan merupakan pemimpin yang diiktiraf dan dihormati dalam bidang transformasi digital, inovasi, kepelbagaian dan keterangkuman. 

 

"Beliau juga merupakan penyokong kuat dalam pemerkasaan wanita, dan telah melibatkan diri dalam lebih 150 persidangan peringkat tinggi setakat ini. Kami amat kagum melihat pemimpin industri seperti Surina menyertai Capital A. 

 

"Beliau membawa pengetahuan dan kepakaran strategik sejajar dengan perkembangan dan pertumbuhan kami sebagai sebuah syarikat teknologi yang diiktiraf di peringkat global dengan misi untuk menawarkan nilai lebih besar kepada semua," katanya.

 

Keputusan untuk melantik Eksekutif Malaysia yang berpengalaman berfungsi untuk menekankan komitmen dan tumpuan strategik Capital A dalam meningkatkan daya saing pasaran perniagaan baharunya, termasuk airasia Super App dan usaha e-dagangnya. - DagangNews.com