Capital A miliki kecairan mencukupi harungi FY22, MIDF Research kekal pandangan 'neutral' | DagangNews Skip to main content

Capital A miliki kecairan mencukupi harungi FY22, MIDF Research kekal pandangan 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mac - Capital A Bhd. dijangka mampu mengharungi tahun kewangan 2022 (FY22) dengan kecairan yang mencukupi meskipun mengambil keputusan menolak pinjaman berjumlah RM500 juta daripada Danajamin Nasional Bhd.

 

Dalam nota kajian hari ini, MIDF Research berkata, jangkaan itu mengambil kira perbelanjaan operasi bulanan syarikat itu kekal sekitar RM62 hingga RM70 juta. 

 

Selain itu, katanya, kumpulan juga menyasarkan untuk memperoleh pembiayaan lain berjumlah AS$225 juta (RM942.1 juta) daripada peminjam asing pada separuh pertama 2022. 

 

"Kami sepatutnya menjangkakan perniagaan segmen penerbangannya kembali meningkat pada suku akan datang apabila sempadan dibuka pada 1 April ini. 

 

"Dalam era sebelum pandemik, operasinya di Malaysia menyumbang kira-kira 80% daripada pendapatan yang mana hampir separuh daripada penumpang yang dibawa adalah untuk laluan antarabangsa," katanya. 

 

Kedudukan tunai kumpulan setakat 31 Disember 2021 (FY21), berjumlah RM1.26 bilion (berbanding akhir FY20, RM533.3 juta) setelah melalui langkah pengumpulan dana. 

 

Ini termasuklah RM336.5 juta menerusi penempatan persendirian diikuti terbitan hak (RM974.5 juta), pembiayaan asing (AS$150/RM628.1 juta tetapi hanya AS$100/RM418.8 juta telah dikeluarkan) dan pinjaman boleh tukar daripada SK Group untuk BigPay (AS$100/RM418.8 juta).

 

Baca : Capital A tolak pinjaman RM500 juta daripada Danajamin

 

Pada 5 Oktober 2021, Capital A (dahulu dikenali AirAsia Group Bhd.) menerima kelulusan daripada Danajamin untuk pinjaman berjamin sebanyak 80% sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin.

 

Skim itu adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi Malaysia berikutan wabak COVID-19.

 

Bagaimanapun, Capital A menolak kemudahan pinjaman RM500 juta yang diluluskan itu kerana ia tidak dapat menerima syarat-syarat tertentu.

 

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, berikutan itu, ia akan meneroka alternatif pembiayaan hutang yang lain dengan syarat yang boleh diterima untuk keperluan operasi serta pembiayaan syarikat.

 

Namun menurut MIDF Research, unjurannya terhadap kerugian kumpulan pada masa akan datang masih kekal tidak berubah. 

 

"Kami masih kekal berhati-hati terhadap prospek kumpulan memandangkan kebanyakan pasaran utama ASEAN belum lagi membuka sempadan mereka sepenuhnya. 

 

"Di samping itu, kenaikan harga bahan api jet telah mendorong syarikat penerbangan termasuk AirAsia untuk memperkenalkan semula surcaj bahan api, menjadikan tambangnya lebih mahal," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Capital A dengan harga sasaran tidak berubah pada 61 sen. 

 

Setakat 10.23 pagi, saham Capital A berada dalam kalangan kaunter paling aktif diniagakan pagi ini. Harga sahamnya susut 4 sen atau 6.06% kepada 62 sen dengan 14.6 juta saham diniagakan. - DagangNews.com