KUALA LUMPUR 3 Nov - Rakyat Malaysia merancang perjalanan ke luar negara dengan semangat baharu terutama selepas lebih banyak negara menerima kehadiran pelancong.
Airbnb Inc. berkata, destinasi di peringkat global yang paling dicari oleh rakyat Malaysia di platform mereka pada 2QFY22 adalah Great Britain, Thailand, Australia, Switzerland dan Perancis.
Katanya, terdapat peningkatan lebih 180% dalam minat untuk penginapan di Arab Saudi dalam kalangan rakyat Malaysia pada 2QFY22 berbanding 2QFY19 dan peningkatan melebihi 150% untuk carian penginapan di Turki untuk jangka masa sama.
Selain itu antara destinasi lain yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia termasuk Mesir (naik 120%) dan Mexico (naik 80%).
Katanya, Thailand, Australia, Indonesia dan Singapura merupakan destinasi paling banyak dicari di Asia Pasifik oleh rakyat Malaysia di Airbnb pada 2QFY22.
Airbnb berkata, minat untuk melancong secara domestik kekal stabil dengan Malaysia dengan Kuala Lumpur, Johor Bahru, Petaling Jaya, Melaka dan Georgetown menjadi destinasi paling dicari pada 2QFY22.
Pengurus besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, walaupun percutian tempatan dan tempat tumpuan pelancongan popular masih menjadi tumpuan utama, terdapat peningkatan pasca pandemik di destinasi baharu dalam kalangan pengembara Malaysia.
“Minat yang semakin meningkat untuk melancong di dalam dan luar negara adalah petanda positif apabila pemulihan pelancongan semakin pantas,” katanya. - DagangNews.com