KUALA LUMPUR 3 Nov - Carimin Petroleum Bhd menerusi subsidirinya, mendapat lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM).
Kontrak tersebut, yang diberikan kepada anak syarikat milik penuh Carimin, Carimin Engineering Services Sdn Bhd, tamat pada 19 Sept dan akan dilanjutkan sehingga akhir 2023.
Carimin berkata terma kontrak itu sebahagian besarnya kekal tidak berubah, kecuali pengembangan skop kerja untuk meliputi kawasan gas Semenanjung Malaysia.
Harga kontrak yang tidak didedahkan itu juga telah diganti secara keseluruhannya berkuat kuasa 20 Sept dan terpakai sepanjang tempoh lanjutan, kata Carimin.
Carimin pada Oktober 2017 memperoleh kontrak lima tahun daripada Petronas Carigali untuk menyediakan perkhidmatan MCM.
Saham Carimin, yang telah turun 43% daripada paras tertinggi tahun ini, ditutup 1.9% atau satu sen lebih tinggi pada 54 sen sesaham semalam, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM126.29 juta. - DagangNews.com