KUALA LUMPUR 15 Feb - Carimin Petroleum Bhd menerima lanjutan kontrak selama setahun daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan sambungan dan pentauliahan bersepadu (iHUC).
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, Carimin Engineering Services Sdn Bhd (CESSB) pada 6 November 2023 telah menerima surat untuk menyediakan perkhidmatan itu.
Katanya, kontrak yang berkuat kuasa 1 Januari 2020 itu telah tamat pada 31 Disember 2023.
"Kontrak itu akan dilanjutkan selama setahun dan lanjutan itu bermula dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024.
"Terma kontrak itu sebahagian besarnya kekal tidak berubah," katanya.
Kumpulan itu berkata, skop kerja untuk kontrak itu tidak berubah, dan terpakai mengikut kontrak dengan beberapa pindaan termasuk keperluan Keselamatan Siber Petronas hendaklah ditambah ke dalam kontrak itu
Katanya, kecekapan, tanggungjawab dan kadar baharu untuk jurutera muda dan jurutera siswazah hendaklah ditambah kepada kontrak
Carimin Petroleum berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya sepanjang tempoh perjanjian itu. - DagangNews.com