Carl Gustav M4 buatan Sweden jadi senjata terbaharu ATM  | DagangNews Skip to main content

Carl Gustav M4 buatan Sweden jadi senjata terbaharu ATM 

FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

SEPERTI dijangka, Tentera Darat (TD) memutuskan untuk memperoleh senjata antiarmor Carl Gustav M4 buatan Sweden bagi menggandakan kemampuan operasi angkatan itu.

 

Kontrak bernilai RM27 juta ini melibatkan pembelian 110 unit Carl Gustav M4 beserta aksesori senjata tersebut.

 

Difahamkan, sistem persenjataan ini akan diterima dalam tempoh enam bulan selepas kontrak dimeterai Kementerian Pertahanan (MINDEF).

 

Tahun lalu, MINDEF telah mengeluarkan iklan pembekalan dan penghantaran sebanyak 110 unit senjata antiarmor berkaliber 84 milimeter (mm) untuk keperluan TD. 

 

Walaupun jenis persenjataan tidak dinamakan, namun berdasarkan ciri-ciri yang disebutkan dalam kontrak tersebut ia cenderung pada Carl Gustaf M4.

 

 

ATM
Tentera Darat masih mengoperasikan senjata Carl Gustav M2.

 

 

Menambahkan lagi keyakinan apabila turut dinyatakan sistem persenjataan berkenaan hendaklah boleh menggunakan pelbagai jenis amunisi 84mm menggunakan pelancar yang sama. 

 

Sumber-sumber luaran pula mengandaikan pembekalan ini adalah bagi keperluan Pasukan Atur Gerak Cepat 10 Briged Para dan juga Gerup Gerak Khas.

 

Dijangkakan, lebih banyak perolehan Carl Gustaf M4 akan dibuat bagi peringkat seterusnya oleh ATM sekiranya senjata ini ingin dibekalkan kepada lain-lain unit infantri.

 

Biarpun tidak dinyatakan tetapi pemilihan Carl Gustav M4 untuk menggantikan senjata versi terdahulu iaitu Carl Gustav M2 yang digunakan sejak tahun 1970an.

 

SAAB Bofors Dynamics

Sejak 20 tahun lalu firma SAAB Bofors Dynamics dari Sweden giat mempromosikan senjata ini kepada pengguna sedia ada termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Carl Gustav merupakan senjata antiarmor yang terbaik selain beroperasi secara tembakan tanpa anjal (recoilles) menyaksikan ia digunakan lebih 50 pasukan tentera di dunia.

 

 

parafrasa
Demonstrasi Carl Gustav M4 yang pertama kali diperkenalkan pada 2014.

 

 

Penggunaan senjata ini oleh TD pada era 1970an juga merupakan satu evolusi baharu apabila buat mula beralih pada kemahiran dalam konsep peperangan konvensional (CW)

 

Batalion-batalion infantri TD yang ketika itu mula didedahkan terhadap konsep CW termasuk ancaman menghadapi pertempuran dengan kereta kebal atau kenderaan armor musuh.

 

Ini berikutan situasi di IndoChina agar membiasakan diri dengan penggunaan senjata berkenaan.

 

Carl Gustaf M2 merupakan sistem anti armor yang mempunyai keupayaan tinggi untuk penugasan yang berbeza.

 

Kelebihan Carl Gustav ialah ia boleh menggunakan peluru yang berbeza antaranya jenis letupan kuat, letupan kuat antikereta kebal, bom asap, peluru suaran dan pelu

 

Cuma yang menjadikan sistem ini kurang digemari oleh pengendalinya ialah berat keseluruhan pelancar bersama kaki dua ialah kira-kira 15 kilogram (kg).

 

Ini berbanding dengan sistem pelancar RPG-7 yang mempunyai berat 7kg.


 

parafrasa
Pelancar roket RPG7 buatan Rusia

 

 

Versi terkini Carl Gustaf, iaitu M4 diperkenalkan pada 2014 dan sepertimana generasi terdahulu, reputasi senjata antiarmor ini berjaya memikat penggunanya. 

 

Saiznya kompak, lebih fleksibel dan sangat menepati dengan keperluan operasi medan tempur hari ini.

 

Ia dilengkapi dengan sistem pejera pintar seperti pejera optik berteknologi tinggi, laser penjejak sasaran dan optik pandang malam sebagai aksesori tambahan.

 

Carl Gustaf M4 masih sama dengan keistimewaan fungsinya ialah boleh menggunakan semua jenis amunisi 84mm termasuk yang digunakan pada versi M2 dan M3. 

 

Kelebihan ini yang menjadikan Garl Gustaf sebagai senjata antiarmor sangat fleksibel daripada aspek penggunan bahan letupan. 

 

Jarak berkesan senjata antara 400 meter (m) hingga 1,000m sama ada untuk memusnahkan kereta kebal, sasaran statik atau bunker bergantung pada jenis amunisi. 

 

 

parafrasa

 

 

Menerusi kerjasama dengan firma Raytheon Technologies pula, Saab telah membangunkan sistem amunisi panduan laser dan telah lengkap diuji buat pertama kali pada 2019.  

 

Amunisi panduan laser ini adalah yang pertama seumpamanya bagi senjata anti armor tersebut, lantas meningkatkan lagi keupayaannya apabila menjadi pembunuh kereta kebal yang lebih praktikal. 

 

Penggunaan amunisi pintar ini telah menjadikan keupayaan pelancar Carl Gustaf berganda.

 

Ini kerana amunisi pintar tersebut mempunyai kelajuan menghampiri supersonik serta boleh menembusi pelbagai jenis sasaran antaranya kubu, struktur yang diperkukuhkan dan kenderaan perisai. - DagangNews.com