Pelabur asing jual RM427.1 juta ekuiti Malaysia pada minggu lepas, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM427.1 juta ekuiti Malaysia pada minggu lepas, kata MIDF Research

Gambar hiasan dari freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Jan - Pelaburan asing kekal menjual ekuiti Malaysia pada minggu kesebelas berturut- turut, mewakili tempoh masa penjualan terpanjang pada tahun lepas, kata MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjual sebanyak RM427.1 juta pada minggu lepas kecuali pada hari Isnin dan Selasa sepanjang minggu dagangan yang dipendekkan berikutan cuti sambutan tahun baharu pada Rabu. 

 

 
Katanya, aliran keluaran dana terbanyak dicatat pada Jumaat sebanyak RM423.8 juta, diikuti Khamis (RM55.8 juta), manakala kemasukan aliran dana dicatat  pada Isnin dan Selasa, masing-masing pada RM570,000 dan RM11.2 juta. 

 


"Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah hartanah (RM115.7 juta), utiliti (RM36.8 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM29 juta).

 

"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah pembinaan (RM89.3 juta), perkhidmatan kewangan (RM45.8 juta) dan perladangan (RM45.5 juta)," kata MIDF dalam laporan aliran dana, hari ini. 

 

Sebaliknya, institusi tempatan terus menyokong bursa tempatan untuk minggu kesebelas berturut-turut, dengan pembelian bersih berjumlah RM304 juta dalam ekuiti domestik.

 

"Institusi tempatan kekal menjadi pembeli bersih pada setiap hari minggu lepas dan telah menjadi pembeli bersih selama 31 hari dagangan berturut-turut.

 

"Peruncit tempatan kekal menjadi penjual bersih ekuiti domestic Malaysia dengan mencatatkan jualan bersih RM256.9 juta.

 

"Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan
 pada minggu lepas. 

 

"Pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 37.5% manakala peruncit tempatan dan institusi tempatan menyaksikan masing-masing melonjak sebanyak 7.8% dan 13.2%," katanya. - DagangNews.com