Carousell raih pelaburan AS$100 juta dari STIC Investments   | DagangNews Skip to main content

Carousell raih pelaburan AS$100 juta dari STIC Investments  

Tiga pengasas bersama Carousell dari kiri, Siu Rui Quek, Marcus Tan dan Lucas Ngoo.

 


KUALA LUMPUR 16 Sept – Carousell Group, kumpulan jual beli dalam talian di Asia Tenggara dan Taiwan, memperoleh pelaburan sebanyak AS$100 juta untuk memacu kepimpinannya di rantau ini, dan menilai semula pengalaman pengiklanan dengan memberi fokus kepada aspek kemudahan dan kepercayaan, bagi menjadikan barangan terpakai sebagai pilihan pertama.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat yang berasal dari Singapura itu berkata, pembiayaan kali ini, yang diketuai oleh STIC Investments, ekuiti swasta terkemuka Korea yang melabur di seluruh Asia, menandakan pencapaian ketara yang akan melonjakkan nilai Carousell kepada AS$1.1 bilion.

 

Pelaburan ini akan mengukuhkan lagi cita-cita kumpulan tersebut untuk mentakrifkan recommerce iaitu perdagangan semula barang-barang atau kereta terpakai di rantau yang semakin bijak digital, makmur dan lebih peka terhadap kelestarian.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carousell, Quek Siu Rui berkata, pandemik ini telah menunjukkan bahawa misi syarikat untuk menginspirasikan dunia supaya mula menjual dan membeli barangan terpakai kini menjadi semakin relevan.

 

Menurutnya, anggota masyarakat menggunakan platform Carousell untuk memperkasakan satu sama lain – melalui perkongsian minat, menjana pendapatan, mendapatkan keperluan, atau disebabkan ia lebih lestari.

 

Katanya, syarikat percaya penerimaan pengalaman digital yang pantas ini merupakan peluang untuk Carousell menggandakan usaha perdagangan semula dengan memberi tumpuan kepada aspek kemudahan dan kepercayaan, untuk membuat perubahan penting dalam masyarakat.

 

“Pelaburan STIC mengesahkan lagi misi dan hala tuju kami yang strategik. Kami akan meningkatkan pelaburan dalam perdagangan semula di semua kategori dan pasaran, serta akan terus mencari peluang untuk meningkatkan perniagaan,” katanya.

 

 

carousell
Pengguna di Hong Kong mencari aset hartanah menggunakan Carousell.

 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan STIC Investments, Jason Cho berkata, pihaknya telah memantau Carousell sebagai salah satu platform terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, dan sangat gembira dapat bekerjasama dengan syarikat yang menunjukkan pertumbuhan pesat sebegini.

 

“Carousell terus mencapai pertumbuhan pengguna yang mengagumkan apabila mereka mengubah pasaran perdagangan semula, menambah ciri baharu yang memberi tumpuan untuk mewujudkan pasaran yang dipercayai dan meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan,” kata Cho yang juga akan menyertai Lembaga Pengarah Carousell.

 

Sejak penubuhannya pada 2012, Kumpulan ini memberi perkhidmatan kepada berpuluh juta pengguna di lapan pasaran di Asia Tenggara dan Taiwan di bawah jenama Carousell, Mudah.my, Cho Tot dan OneKyat.

 

Pendekatan perintis-mudah-alih-dahulu yang digunakan oleh Carousell telah menyemarakkan ruang jual beli, memudahkan penjualan dan pembelian serta terbukti menjadi kedai sehenti yang penting untuk semua kategori.

  

Pada tahun ini, Carousell telah mempelopori program Certified Mobiles di Singapura, yang menawarkan jaminan 12 bulan untuk telefon bimbit terpakai bagi memberikan pengguna pengalaman seperti memiliki telefon baharu pada harga jauh lebih murah, dan melancarkan penghantaran bersepadu bersama PosLaju (perkhidmatan pos nasional Malaysia) dalam menyediakan pilihan transaksi tanpa sentuhan bagi penjual dan pembeli semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Carousell Auto Group, yang dibentuk awal tahun ini untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pengiklanan kereta, telah melancarkan program Certified Autos di Malaysia yang berjaya mencapai inventori terbesar bagi kereta yang diperakui di negara ini, dan akan disusuli oleh pasaran utama lain. – DagangNews.com