Carsome raih dana pembiayaan AS$170 juta, meningkatkan nilainya kepada AS$1.3 bilion | DagangNews Skip to main content

Carsome raih dana pembiayaan AS$170 juta, meningkatkan nilainya kepada AS$1.3 bilion


SINGAPURA 1 Sept. – Platform jualan kereta terpakai dalam talian, Carsome Group menjana pembiayaan AS$170 juta (RM705.24 juta) daripada para pelabur termasuk pengeluar cip Taiwan, MediaTek, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai firma teknologi terulung di Malaysia, kini bernilai AS$1.3 bilion (RM5.39 bilion).

 

Penilaian ke atas syarikat permulaan itu adalah berdasarkan minat tinggi daripada pendana serantau dan global, dipacu oleh kadar pertumbuhan yang cergas, ketika para pelabur memilih prospek pasca pandemik yang positif.

 

Pengasas bersama dan Ketua Eksekutifnya, Eric Chen berkata, perkara paling penting yang pihaknya hendak tangani ialah persoalan tidak yakin yang lazim dikaitkan dengan industri kereta terpakai.

 

‘’Para pengguna kini semakin terbuka untuk membeli kereta secara dalam talian semasa perintah kawalan pergerakan yang telah dikuatkuasakan sejak tahun lepas,’’ katanya dalam wawancara bersama Reuters.

 

Carsome yang baru berusia enam tahun berdepan dengan pesaing dari Carro, yang dibiayai oleh Dana Visi 2 Softbank dan OLX Auto di Indonesia, iaitu sebahagian daripada OLX Group yang mengendalikan platform dagangan global.

 

Menurut Cheng, Carsome yang juga beroperasi di Indonesia, Thailand dan Singapura telah meningkatkan ppusat runcit dan meluaskan penawarannya, termasuk dasar memulangkan wang dalam 5 hari dan waranti setahun.

 

Ketua Pegawai Kewangannya, Juliet Zhu memberitahu Reuters, Carsome dijangka mencatat tiga kali ganda perolehan untuk menghampiri AS$1 bilion (RM4.15 bilion) tahun ini berbanding tahun lepas dan menjangka kembali untung di peringkat operasi pada 2022.

 

 

Pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Carsome, Eric Chen
Pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Carsome, Eric Chen

 

 

Syarikat itu telah meraih lebih daripada AS$100 juta daripada proses mencari pembiayaan.

 

Zhu berkata, Carsome mempertimbangkan untuk disenaraikan di Amerika Syarikat di dalam tempoh 12 bulan dan sedang dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat kewangan untuk berperanan sebagai penaja proses tersebut.

 

"Sekian lama memang kami menyasarkan untuk disenarai di bursa Amerika Syarikat disebabkan adanya perbandingan penilaian pasaran dalam talian keret terpakai seumpamanya di sana,’’ kata Cheng.

 

Disokong oleh firma modal teroka Asia, Gobi Partners dan sayap Mitsubishi UFG Financial Group, Carsome akan menggunakan dana itu untuk meningkatkan lagi aktiviti pengambilalihan.

 

Tahun ini, Carsome mengambil alih perkhidmatan lelongan kereta dan motosikal berpusat di Jakarta dan mencapai persetujuan dengan iCar Asia yang disenarai di bursa Australia – yang menawarkan laman penyenaraian di Asia Tenggara.

 

 

Ketua Pegawai Kewangan Carsome Juliet Zhu
Ketua Pegawai Kewangan Carsome, Juliet Zhu

 


Carsome memberitahu satu daripada entiti firma dana berdaulat terbesar di rantau ini telah menyertai pembiayaan terbaharunya tetapi enggan mendedahkan entiti tersebut. Syarikat itu juga telah memperoleh fasiliti kredit baharu sebanyak AS$30 bilion (RM124.50 juta).

 

Rothschild & Co merupakan penasihat kewangan bagi pengumpulan dana pembiayaan tersebut. – DagangNews.com