CEKD Berhad meterai perjanjian taja jamin IPO dengan M&A Securities  | DagangNews Skip to main content

CEKD Berhad meterai perjanjian taja jamin IPO dengan M&A Securities 

Dari kiri, Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting; Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities Datuk Bill Tan; Timbalan Pengerusi Eksekutif CEKD, Yap Tian Tion dan Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning pada majlis pemeteraian perjanjian taja jamin IPO CEKD di Kuala Lumpur.

 


KUALA LUMPUR 2 Ogos – CEKD Berhad, penyedia rumusan acuan pemotongan serta pengilang acuan pemotongan dan pedagang barangan pengguna, peralatan dan aksesori, telah memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd.

 

Perjanjian taja jamin ini adalah pendahulu kepada penawaran awam permulaan (IPO) syarikat ini di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad yang akan berlangsung pada September 2021.

 

Sebagaimana dinyatakan di dalam prospektus di laman web Suruhanjaya Sekuriti, IPO CEKD terdiri daripada 50.59 juta saham terbitan awam yang mana 9.73 juta saham akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia. Tambahan 9.73 juta saham lagi akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan penyumbang kepada Syarikat yang layak; sebanyak 6.81 juta saham lagi dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 24.32 juta saham dikhaskan bagi penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Dibawah perjanjian ini, M&A Securities akan menaja jamin 19.46 juta jumlah keseluruhan cadangan terbitan saham diperuntukkan bagi rakyat Malaysia atau menerusi borang merah jambu. Baki 31.13 juta saham terbitan dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI dan pelabur terpilih tidak akan ditaja jamin dan akan diterbitkan oleh M&A Securities.

 

Pengarah Urusan CEKD Berhad, Cik Yap Kai Ning berkata, pemeteraian perjanjian taja jamin ini membawa syarikat lebih hampir dengan matlamat menyenarai awam CEKD menerusi IPO.

 

"Sebagai satu daripada peneraju penyediaan acuan pemotongan dibuat khusus di Malaysia, kami percaya ia akan amat bermanfaat bagi CEKD untuk mengukuhkan dan memantapkan kedudukannya di dalam industri daripada sudut operasi dan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan CEKD ke arah penyenaraian awam di Pasaran ACE Bursa Securities.

 

"Kami mahu merakamkan penghargaan kami atas pelantikan kami sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Agen Penempatan IPO untuk CEKD. Syarikat ini telah mencapai banyak kejayaan sejak ia ditubuhkan, dan kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada mercu tanda penting di dalam sejarah syarikat. IPO ini menandakan pencapaian mengagumkan bagi Syarikat, dan kami doakan kejayaan dan yang terbaik untuk CEKD,” katanya.

 

Pasaran prinsipal CEKD kebanyakannya di Malaysia yang menyumbang sebanyak 85.6% daripada keseluruhan perolehan pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020. Pelanggan CEKD kebanyakannya daripada industri percetakan dan pembungkusan kertas, elektrik dan elektronik, automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.

 

 

CEKD Berhad merupakan syarikat induk pelaburan dengan tiga subsidiari milik penuhnya, iaitu Sharp Die Cutting Mould Sdn Bhd di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur; Hotstar (M) Sdn Bhd di Kepong, Kuala Lumpur dan Focuswin Diecutting Mould Sdn Bhd di Prai, Penang.

 

Kumpulan syarikat ini merupakan penyedia rumusan acuan pemotongan dan terlibat di dalam pengilangan acuan pemotongan dan perdagangan barangan pengguna berkaitan, peralatan dan aksesori, terutama untuk industri percetakan dan pembungkusan kertas, industri elektronik dan elektrik, dan industri lain seperti automotif, pembungkusan plastik, industri tekstil dan kulit.

 

Acuan dan peralatan pemotongan CEKD digunakan sebagai acuan pemotongan kotak dan karton kertas, kotak pembungkusan plastik, komponen elektrik seperti komputer riba, cakera keras, pembesar bunyi audio, alat kawalan jauh, komponen automotif seperti gasket enjin, jata, fabrik dan kulit untuk perabot, kerusi kereta, kemudi roda, pakaian dan kasut. - DagangNews.com