CelcomDigi, Huawei Malaysia integrasikan AI dalam rangkaian 5G | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi, Huawei Malaysia integrasikan AI dalam rangkaian 5G

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun merasmikan kerjasama antara CelcomDigi dan Huawei Malaysia.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - CelcomDigi Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam rangkaian CelcomDigi. 

 

Dengan mengintegrasikan AI dalam rangkaian CelcomDigi akan menghasilkan salah satu rangkaian 4G dan 5G paling pintar di Malaysia dan membuka jalan ke arah pembangunan teknologi masa depan negara, menurut kenyataan bersama dua syarikat itu. 

 

Katanya, kerjasama tersebut akan meneroka penggunaan AI dalam Rangkaian Akses Radio (RAN) CelcomDigi, yang dikenali sebagai IntelligentRAN. 

 

"Antara ciri utama kerjasama itu termasuk penggabungan sistem berkembar digital bagi membolehkan eksperimen pantas model rangkaian baharu, pelaksanaan keupayaan pengurusan rangkaian proaktif melalui analitik lanjutan, penggunaan berbilang sistem sokongan dalam menyediakan perkhidmatan rangkaian yang bijak, serta meningkatkan pengalaman pelanggan," ujarnya. 

 

Menurut kedua-dua syarikat itu, AI dan automasi tersebut dijangka dapat meningkatkan produktiviti dan inovasi rangkaian dengan ketara, walaupun infrastruktur rangkaian menjadi semakin kompleks. 

 

"Dengan adanya sistem kembar digital, syarikat dapat menjalankan simulasi berskala besar dalam replika rangkaian maya sebelum pelaksanaan sebenar, mempercepatkan inovasi pada kos rendah dan mengurangkan gangguan kepada pelanggan.


 
"Ia juga akan menguruskan rangkaian proaktif, yang dikuasakan oleh algoritma ramalan, memastikan pengalaman pelanggan yang lebih konsisten dan boleh dipercayai. 

 

"Selain itu, pengaturan pintar sumber 4G dan 5G akan membolehkan perkhidmatan tanpa wayar yang lebih diperibadikan dan dipertingkatkan untuk pelanggan," ulasnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, CelcomDigi sedang melabur secara aktif untuk membina rangkaian 4G dan 5G yang paling maju di negara bagi memenuhi keperluan pengguna dan perusahaan dalam era baharu, ‘digital-everything’ yang dikuasakan oleh 5G-AI.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun, turut menekankan bahawa Malaysia kini berada pada titik perubahan untuk menggunakan kecerdasan rangkaian seiring kemajuan teknologi AI.

 

"Visi kami adalah untuk membina rangkaian pintar di seluruh Malaysia, dan untuk mencapai matlamat ini, Huawei Malaysia sedang berkembang melangkaui peranan sebagai penyedia penyelesaian Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), menuju ke arah menjadi arkitek rangkaian dipacu AI. 

 

"Dengan menggunakan IntelligentRAN bersama CelcomDigi, kami akan membuka kunci nilai perniagaan yang ketara dengan membolehkan penyepaduan penuh keupayaan AI merentas semua lapisan rangkaian tanpa wayar dan seterusnya memastikan kejayaan perniagaan 5G," kata beliau.- DagangNews.com