CENTEXS promosi dan pasarkan produk warisan Sarawak | DagangNews Skip to main content

CENTEXS promosi dan pasarkan produk warisan Sarawak

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) berbual dengan Datuk Sabariah Putit, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan pegawai-pegawai kanan CENTEX semasa pelancaran CENTEXS Commercial Media, di Kuching pada 11 November 2021.

 

KUCHING 12 Nov - CENTEXS Commercial Media (CCM) mampu menjadi pemain barisan hadapan dan platform berpusat dalam membantu mempromosikan produk warisan Sarawak, bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.

 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkara tersebut dapat dilakukan menerusi inisiatif ‘Produk Buatan Sarawak’.

 

“CCM merupakan platform media digital yang akan mewujudkan ekosistem promosi yang lebih dinamik dan berpusat dalam mengembangkan serta memperluaskan produk usahawan kita dengan menggunakan platform media digital,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis pelancaran CCM di ibu pejabat CENTEXS di Santubong, dekat sini pada Khamis, lapor Bernama.

 

Kementeriannya akan bekerjasama dengan CENTEXS untuk melaksanakan program video promosi produk usahawan Sarawak melalui saluran media sosial CCM dengan peruntukan berjumlah RM50,000.

 

Jelasnya, kolaborasi ini akan membantu seramai 50 usahawan tempatan selain memasarkan dan mempromosi produk keluaran mereka dengan bantuan CCM. 

 

CCM ditubuhkan pada 2019 dengan berperanan untuk membantu mengetengahkan produk-produk warisan yang dihasilkan oleh pelajar dan alumni CENTEXS.

 

Peranannya diperluaskan dengan membantu komuniti di Sarawak, terutamanya usahawan tempatan bagi memasarkan produk keluaran mereka, sama ada dalam bentuk produk warisan, mahupun produk berbentuk digital ke seluruh Sarawak dan Malaysia. - DagangNews.com