Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional tetapkan pelaporan standard untuk syarikat | DagangNews Skip to main content

Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional tetapkan pelaporan standard untuk syarikat

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR 25 Sept - Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF) akan membantu syarikat menerima pakai standard pelaporan kemampanan sejajar global, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

NSFR ialah merupakan rangka kerja yang melakarkan pendekatan Malaysia untuk pelaporan kemampanan, menggunakan piawaian pendedahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa (Standard ISSB) serta rangka kerja untuk jaminan kemampanan.

 

Beliau berkata NSRF, bertujuan meningkatkan pendedahan kemampanan oleh syarikat, menandakan satu lagi langkah penting dalam komitmen Malaysia bagi menyepadukan kemampanan ke dalam teras pembangunan ekonomi.

 

"Ia menangani keperluan maklumat pelabur dan pembiaya untuk membantu dengan keputusan peruntukan modal, dan yang lebih penting, menggalakkan kemakmuran ekonomi yang sejajar dengan penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

 

"Pelabur menilai syarikat berdasarkan kesan alam sekitar, jejak karbon dan pengurusan sisa mereka, didorong oleh pengiktirafan bahawa risiko kewangan yang berkaitan dengan kemerosotan alam sekitar mesti dikurangkan," katanya dalam ucaptama pada pelancaran NSRF.

 

Amir Hamzah menyatakan, hasil utama daripada NSRF adalah untuk menyokong kemudahan menjalankan perniagaan berkenaan dengan pelaporan kemampanan.

 

"Penubuhan ISSB dan dua piawaian sulungnya adalah untuk menangani ketiadaan set piawaian bersatu untuk pelaporan kemampanan dan keperluan untuk satu bahasa yang sama.

 

"Dengan menggunakan Piawaian ISSB, NSRF menyediakan syarikat rangka kerja yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan piawai untuk menyediakan pendedahan kemampanan yang boleh dipercayai, berguna untuk membuat keputusan dan setanding di peringkat global," katanya.

 

Menurut Amir Hamzah, Malaysia kini menyertai lebih 20 bidang kuasa -- secara kolektif mewakili 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global -- yang telah memutuskan atau sedang mengambil langkah untuk menggunakan piawaian tersebut.

 

“NSRF juga mendapat sokongan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang mengutamakan pelaburan yang menyumbang kepada matlamat kemampanan dan menangani isu kritikal seperti tindakan iklim, ketidaksamaan sosial dan keterangkuman ekonomi.

 

"Ini dicerminkan dalam dasar pelaburan dan penglibatan mereka, serta sasaran - termasuk portfolio sifar bersih dan pelepasan sifar bersih untuk operasi mereka sendiri menjelang 2050," katanya.

 

NSRF dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan, yang dibentuk tahun lepas dengan sokongan Kementerian Kewangan.

 

Dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, jawatankuasa itu terdiri daripada Lembaga Pemantauan Audit, Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Yayasan Pelaporan Kewangan. - DagangNews.com