Kilang Central Global Berhad di Sungai Petani, Kedah.
KUALA LUMPUR 5 April - Central Global Berhad (CGB) yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia mengemukakan cadangan bagi Penempatan Persendirian sejumlah 18 juta saham baharu.
Ia mewakili tidak lebih daripada 20% jumlah bilangan saham terbitan CGB, kepada pelabur pihak ketiga yang layak yang akan dikenal pasti pada tarikh kemudian.
Pengerusi Eksekutif CGB, Datuk Faisal Zelman berkata, proses penempatan persendirian ini adalah seiring dengan perancangan kumpulan untuk pengeluaran pita masking di dalam perniagaan pengilangan.
Katanya, CGB memberi fokus untuk mengekalkan volum pengeluaran kritikal ini di tahap tinggi dan melaksanakan usaha bagi memacu kecekapan di dalam pengeluaran yang akan meminimumkan pembaziran.
"Selain itu, kami juga akan memastikan kualiti produk adalah konsisten, memandangkan ia penting kepada tempahan berulang khususnya tempahan eksport," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kumpulan juga akan menggunakan hasil tersebut untuk membiayai projek daripada perniagaan pembinaan di Pulau Pinang.
CGB memperoleh projek itu pada Januari 2020 dan kerja-kerja dimulakan pada Julai 2020.
"Kami akan terus mengambil projek pembinaan dan telah mengemukakan tender untuk beberapa projek. Sebahagian daripada hasil daripada proses penempatan persendirian ini nanti akan diguna sebagai tujuan modal kerja selain mempercepatkan perluasan perniagaan masa hadapan," tambah beliau.
CGB merupakan pengeluar pita perindustrian dan stok label yang merintis pengeluaran pita masking tahan suhu tinggi dan juga penyedia penyelesaian sehenti bagi pita pelekat sendiri.
Selain itu, CGB juga terlibat dalam sektor pembinaan, yang pada masa ini paling aktif di wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Cadangan penempatan itu mungkin dilaksanakan beberapa peringkat untuk tempoh 6 bulan dari tarikh kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad, dengan kemungkinan beberapa tarikh penetapan harga dan harga terbitan saham penempatan yang akan diputuskan secara berasingan dan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah CGB selepas menerima kelulusan Bursa Securities.
Saham-saham baharu ini akan mempunyai hak yang sama dengan saham terbitan sedia ada.
Hasil daripada penempatan persendirian ini akan diguna bagi penambahan mesin penyalut pita-pita masking yang baharu, membiayai projek pengeluaran sedia ada, modal kerja dan anggaran perbelanjaan berkait dengan proses penempatan saham persendirian ini.
TA Securities Holdings Berhad telah dilantik sebagai penasihat dan agen penempatan bagi cadangan penempatan persendirian ini. - DagangNews.com