KUALA LUMPUR 24 Ogos - Central Global Bhd. merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 mencerminkan peningkatan RM4.91 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan yang lebih baik itu didorong oleh peningkatan pendapatan sebanyak 117% atau RM21.31 juta kepada RM39.46 juta berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan juga mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM30.8 juta atau 55% pendapatan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 dengan PAT meningkat kepada RM6.3 juta.
Bagi segmen pembinaan, yang menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan, hasil terus melonjak kepada RM24.25 juta pada suku kedua.
Ini mencerminkan peningkatan RM22.21 juta atau 1,089% tahun ke tahun didorong projek yang diperoleh kumpulan, Sistem Bekalan Air RYRT Lahad Datu Fasa 1 dan kemajuan kerja yang dipercepatkan di kondominium Montaj di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Walaupun segmen pembinaan membentuk 61% daripada jumlah pendapatan kumpulan, tetapi segmen pembuatan membentuk baki 39%, menyumbang RM15.2 juta pada suku berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Central Global, Chew Hian Tat menyifatkan ia ada prestasi suku yang luar biasa bagi kumpulan dengan menyaksikan PAT mencapai paras tertinggi, sekali gus membuktikan kejayaan strategi baharu perniagaannya yang berkesan.
Beliau menjangkakan kedua-dua segmen perniagaan akan kekal berdaya tahan pada suku akan datang walaupun berdepan cabaran dalam industri pembinaan.
“Kami juga optimis terhadap prospek segmen pembuatan dan kami berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada jangkaan jualan eksport yang lebih tinggi pada suku berikutnya apabila tenaga kerja kembali beroperasi penuh.
"Pengeluaran berjalan pada kapasiti hampir penuh untuk menjelaskan pesanan yang tertunggak daripada pelanggan luar negara kami," katanya. - DagangNews.com