Central Global meterai MoU dengan Smart Sabah bagi projek ‘dashboard’ Kementerian Kewangan Sabah | DagangNews Skip to main content

Central Global meterai MoU dengan Smart Sabah bagi projek ‘dashboard’ Kementerian Kewangan Sabah

Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Central Global Berhad menerusi subsidiari milik penuhnya, Central Global Technology Sdn. Bhd. (CGTSB), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Smart Sabah Corporation Sdn. Bhd. bagi membincangkan penubuhan syarikat usahasama (JV) untuk pembinaan ‘dashboard’ bagi Kementerian Kewangan Sabah.

 

MoU tersebut, yang sah selama enam bulan daripada tarikh pemeteraian, akan menjadi kerangka kerja yang mana CGTSB dan Smart Sabah akan memperhalusi kolaborasi sehingga kepada JV bagi Projek Merancang, Merekabentuk, Membangun, Melaksana dan Menyelenggara Dashboard Kementerian Kewangan Sabah.

 

Central Global merupakan pengeluar pita penutup industri dan stok label serta kontraktor bangunan am manakala Smart Sabah adalah syarikat milik kerajaan yang menawarkan perkhidmatan maklumat, komunikasi dan teknologi serta perkhidmatan pengurusan berkaitan dan perundingan keselamatan.

 

Pengerusi Eksekutif Central Global, Dato’ Faisal Zelman berkata: “Kami mengalu-alukan perbincangan mengenai daya maju usahasama dengan Smart Sabah bagi pembinaan `dashboard’ untuk Kementerian Kewangan negeri. Kami berharap untuk mendapat perbincangan yang berhasil ke atas projek ini dan akan mengumumkan nanti bila terdapat sebarang kemajuan atau perkembangan.’’

 

“Kami terus mencari peluang-peluang perniagaan untuk sayap pembinaan Syarikat sementara kami memuktamadkan pembelian mesin-mesin yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran pita penutup kami kepada 250%. Inisiatif dan perundingan ini masih berjalan dan akan memastikan kelestarian perniagaan kami di sebalik cabaran-cabaran yang dihadapi dalam setahun setengah ini,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Pengerusi Eksekutif Central Global, Dato’ Faisal Zelman
Pengerusi Eksekutif Central Global, Dato’ Faisal Zelman

 


Ditubuhkan pada 1972, Central Global Berhad secara prinsipal terlibat di dalam bidang perkilangan dan pembinaan. Ia merupakan pakar di dalam pembuatan pita industri dan stok label selain penyedia rumusan sehenti bagi pita kertas krep.

 

Divisyen pembinaan Syarikat ditubuhkan pada 2019 dan aktif terutamanya d wilayah utara Semenanjung Malaysia. Sila lawat cgbgroup.com.my. untuk maklumat lanjut. DagangNews.com