Central Global raih subkontrak bernilai RM15.25 juta bagi projek Bekalan Air Luar Bandar Sabah | DagangNews Skip to main content

Central Global raih subkontrak bernilai RM15.25 juta bagi projek Bekalan Air Luar Bandar Sabah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Central Global Berhad menerusi Proventus Bina Sdn. Bhd. menerima subkontrak bernilai RM15.25 juta bagi membekalkan mesin, tenaga kerja dan bahan yang diperlukan bagi pembinaan dan penyiapan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sistem Retikulasi Tahun 2018/2019 Negeri Sabah Bahagian Lahad Datu.

 

Projek itu akan dimulakan selepas menerima surat anugerah dan siap pada sepenuhnya pada April 2025. Menerusi kontrak itu, jumlah buku pesanan tertunggak Central Global berjumlah RM322.8 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Chew Hian Tat berkata, pihaknya berbesar hati kerana diiktiraf atas keupayaan mereka sebagai subsektor pembinaan infrastruktur.

 

"Kami amat percaya bahawa sektor pembinaan dan permintaan untuk infrastruktur akan terus berkembang dengan kukuh seperti yang dibuktikan oleh pertumbuhan 8.1% tahun ke tahun dalam nilai kerja yang dilakukan kepada RM32.4 bilion antara April dan Jun 2023. 

 

cgb
Chew Hian Tat

 

"Daripada angka ini, kejuruteraan awam menyumbang bahagian terbesar keluaran sektor itu pada 37.4% atau RM12.1 bilion," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu menerusi RYRT International Sdn. Bhd., juga aktif dalam subsektor kejuruteraan awam di Sabah dengan memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM464 juta sejak 2020.

 

Hian Tat berkata, Sabah akan terus menjadi tumpuan kami dalam sektor pembinaan berikutan prospek sektor itu yang semakin meningkat. 

 

Katanya, ia berpunca daripada penerusan dan pecutan projek infrastruktur utama di Malaysia Timur seperti lebuh raya Trans-Borneo di Sabah dan Sarawak, Jalan Hubungan Sabah-Sarawak Fasa 2 serta projek utiliti. 

 

"Bagi memastikan pengisian semula buku pesanan yang sihat, kami terus aktif membida projek infrastruktur berjumlah RM4.4 bilion pada 30 Jun 2023," katanya. - DagangNews.com