CEO Felcra dipilih terajui FGV berkuat kuasa 23 Ogos ini | DagangNews Skip to main content

CEO Felcra dipilih terajui FGV berkuat kuasa 23 Ogos ini

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - FGV Holdings Bhd. mengumumkan pelantikan Mohd. Nazrul Izam Mansor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 23 Ogos ini.

 

Mohd. Nazrul, 45, sebelum ini merupakan CEO FELCRA Bhd. sejak 2018, menurut FGV dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

FGV berkata, beliau memiliki pengalaman selama 22 tahun dengan memegang pelbagai jawatan dalam beberapa industri berbeza. 

 

"Beliau memulakan karier pada 1998 sebagai Eksekutif Akaun di RHB Unit Trust Management Berhad dan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari University of Queensland, Brisbane, Australia.

 

"Malah, Mohd. Nazrul memiliki kelayakan profesional dari CPA Australia dan Malaysian Institute of Accountants, Malaysia," katanya hari ini. 

 

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau termasuklah Pembantu Eksekutif kepada CEO Padiberas Nasional Bhd. dan Ketua Struktur Perniagaan Malaysia Building Society Berhad (MBSB).

 

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan Kumpulan di Realmild Sdn Bhd., Pengarah Kewangan di N.U.R Power Sdn. Bhd. dan Pengarah Urusan Teras Dara Konsortium Sdn Bhd. 

 

Pada 11 Mei lalu, FGV melantik Azman Ahmad sebagai pegawai bertugas untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab CEO Kumpulan berkuat kuasa 16 Mei 2021 setelah perletakan jawatan Datuk Haris Fadzilah Hassan. - DagangNews.com