CEO MSM dipecat setelah Lembaga Pengarah tolak penjelasannya | DagangNews Skip to main content

CEO MSM dipecat setelah Lembaga Pengarah tolak penjelasannya

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Datuk Khairil Anuar Aziz telah dipecat sebagai ketua pegawai eksekutif selepas lembaga pengarah syarikat mendapati penjelasannya mengenai perubahan terhadap pelupusan inventori berjumlah RM36.6 juta sebagai `tidak dapat diterima'.

Khairi, 53, telah diarahkan bercuti daripada tugas sejak 8 September lalu disebabkan isu tersebut.
 

khairil anuar aziz
                                      Khairi Anuar Aziz


"Lembaga Pengarah MSM Malaysia Holdings Bhd ingin memaklumkan bahawa lembaga pengarah telah mengambil langkah sewajarnya untuk ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO) untuk menjelaskan mengenai isu inventori di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd di dalam Penyata Kewangan 2019.

"Lembaga Pengarah telah menilai penjelasan beliau dan mendapatinya `tidak dapat diterima'. Lembaga telah memutuskan supaya GCEO menamatkan tugasnya berkuat kuasa 5 Oktober 2020," lapor MSM kepada Bursa Malaysia.

Syarikat turut memaklumkan bahawa Fakhrunniam Othman akan meneruskan peranannya sebagai pegawai bertugas sehingga lembaga pengarah mengenal pasti calon sesuai bagi mengisi jawatan GCEO.

Fakhrunniam, yang merupakan pegawai pelaburan kumpulan FGV Holdings Bhd, dilantik sebagai CEO interim MSM apabila Khairil diarahkan bercuti. Semasa pelantikannya, Fakhrunniam juga diberi tugas melakukan kajian semula secara menyeluruh sistem rekod dan pelaporan bagi MSM Johor. - DagangNews.com