CGS-CIMB : IOI Corp dijangka berdepan sentimen negatif | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : IOI Corp dijangka berdepan sentimen negatif

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - IOI Corp. Bhd dijangka berdepan sentimen negatif berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa di ladang syarikat tersebut, menerusi surat yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) minggu lalu.

 

Pada Jumaat, syarikat perladangan ini mengambil maklum mengenai surat berkenaan tetapi sehingga saat itu, pihak CBP belum berhubung dengan mereka mengenai siasatan yang dijalankan.   

 

CGS-CIMB berkata, laporan tersebut akan memberi kesan negatif terhadap sentimen saham IOI Corp kerana kebimbangan bahawa syarikat itu boleh dikenakan penalti disebabkan kontroversi ini melalui penilaian persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) atau perintah tahanan pelepasan (WRO) yang dikeluarkan CBP AS.

 

Syarikat ini bagaimanapun, katanya, dilihat yakin dapat mempertahankan dirinya daripada sebarang dakwaan buruh paksa dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan. 

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat ini sesuatu yang positif kepada IOI Corp. Tetapi, ia mungkin memakan masa sebelum CBP membuat sebarang keputusan berkaitan hal ini. 

 

"Dengan risiko yang tinggi ini, ia boleh menjejaskan prestasi harga saham IOI Corp," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Setakat 10.47 pagi, saham IOI Corp susut 2.09 peratus kepada RM3.74 sesaham.

 

Baca : Dakwaan buruh paksa, IOI belum dihubungi CBP AS

 

Menurut firma itu, Pakar Migran Hak Asasi Pekerja, Andy Hall dalam kenyataan mengesahkan telah mengemukakan petisyen kepada CBP AS pada awal 2021 menhenai kebimbangannya terhadap petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai penggunaan buruh paksa dalam operasinya, seperti didakwa pekerja IOI Corp.

 

Beliau kemudiannya berhubung secara terus dengan IOI Corp. berhubung masalah berkenaan, antaranya, bayaran deposit kepada pekerja, yuran pengambilan pekerja yang tidak mencukupi dan kos berkaitan proses pengagihan dan kekeperluan untuk memastikan proses pengambilan pekerja yang beretika serta kos rendah untuk pengambilan pekerja asing.

 

IOI Corp adalah syarikat perladangan minyak sawit kedua terbesar di Malaysia yang disenaraikan dari segi permodalan psaran dan memiliki kawasan perladangan seluas 178,000 hektar termasuk menjalankan aktiviti kilang penapisan dan oleokimia.

 

Malah, syarikat ini merupakan anggota RSPO dengan 96 peratus daripada ladangnua dan kesemua 14 kilangnya memiliki persijilan ini. Dilaporkan IOI Corp komited untuk mencapai 100 peratus persijilan RSPO menjelang 2023.

 

Jelas CGS-CIMB, laporan mengenai dakwaan buruh paksa dilihat akan memberi kesan kepada skor ESG IOI Corp pada masa depan dan juga di bawah kategori 'sosial'. 

 

"Tetapi, tindakan proaktifnya yang mahu menangani isu ini akan dilihat positif kepada penilai terlibat," katanya.

 

Firma itu menyemak turun harga sasaran saham IOI Corp kepada RM3.97 sesaham ekoran kebimbangan berhubung isu tersebut. 

 

CGS-CIMB mengulangi saranan 'pegang' ke atas saham syarikat ini. - DagangNews.com