CGS-CIMB jangka eksport negara terus melonjak Mac ini didorong kenaikan harga komoditi | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka eksport negara terus melonjak Mac ini didorong kenaikan harga komoditi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan sektor eksport akan terus melonjak pada Mac ini dengan harga komoditi termasuk minyak sawit, gas asli cecair (LNG), minyak mentah dan petroleum bertapis mencatatkan peningkatan ketara akibat krisis Rusia-Ukraine.

 

Firma penyelidikan itu berkata, produk-produk berkenaan menyumbang sebanyak 17% daripada nilai eksport Malaysia dan disokong oleh kenaikan harga akibat peningkatan permintaan global.

 

"Komoditi kekal sebagai 'bintang' utama dalam sektor eksport pada Februari dengan perkembangan sektor pertanian sebanyak 38.7% dan perlombongan bertambah 30.7% mengatasi eksport barangan perkilangan (+14.2%).

 

"Pertumbuhan pesat sektor eksport ketika ini dilihat sangat tidak stabil dan bergantung kepada pergerakan harga global komoditi disamping permintaan terhadapnya adalah tidak menentu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, lebihan dagangan Malaysia bertambah kepada RM19.8 bilion pada Februari dan ia selaras dengan pasaran namun kurang daripada unjuran sebanyak RM21.6 bilion.

 

Akibat tempoh yang singkat pada bulan itu, eksport pada Februari menurun 7.9% dari bulan ke bulan manakala import menurun sebanyak 10.8% namun dari tahun ke tahun, kedua-duanya mencatatkan perkembangan lebih perlahan daripada jangkaan iaitu 16.8% (eksport) dan 18.4% (import).

 

"Kesan kenaikan harga komoditi akan memberi manfaat kepada akaun semasa Malaysia kerana Malaysia sentiasa menjadi pengeksport minyak sawit, minyak mentah dan LNG dengan lebihan dagangan sebanyak 6.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

"Kejatuhan harga komoditi mungkin akan memberi kesan kepada ekonomi negara tetapi segmen itu hanya menyumbang kurang 20% daripada KDNK," katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pengguna menerima rangsangan minggu ini selepas kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 pada April ini.

 

"Kami menjangkakan ia akan membantu meningkatkan import barangan pengguna terutamanya makanan dan minuman yang dilihat menguncup sebanyak 13.8% dari tahun ke tahun, 40% dari bulan ke bulan," katanya. - DagangNews.com