CGS-CIMB jangka model pembiayaan MRT3 diumum pada suku pertama, Gamuda bakal mainkan peranan penting | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka model pembiayaan MRT3 diumum pada suku pertama, Gamuda bakal mainkan peranan penting

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Feb - Gamuda Bhd. dilihat akan memainkan peranan penting dalam pembangunan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang menelan kos sekitar RM20 hingga RM30 bilion, menurut CGS-CIMB. 

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, walaupun terdapat kemungkinan perubahan struktur bagi komponen kerja-kerja awam dalam projek tersebut, tetapi Gamuda akan tetap menjadi antara pesaing utama dalam pusingan tender kerja awam, yang akan dilancarkan pada suku kedua ini.

 

Malah, beliau juga yakin bahawa skop kerja bawah tanah berkemungkinan akan ditender sebagai satu pakej tunggal dan ini memberi petanda baik untuk usaha sama MMC-Gamuda memandangkan rekod prestasi dan kelayakannya yang kukuh dalam skop terowong MRT1 dan MRT2.

 

"Gamuda menerusi usaha sama tersebut, dijangka menjadi pesaing utama bagi kerja-kerja bawah tanah projek ini, yang mana kami anggarkan nilai kontrak antara RM10 hingga RM15 bilion, berdasarkan kos penanda aras per kilometer sebanyak RM1 bilion.

 

"Dari segi kedudukan kewangan pula, gearan bersih Gamuda setakat akhir Oktober 2021 ialah 0.17x, yang mencerminkan kapasiti tambahan pinjaman lebih RM4 bilion, berdasarkan kepada had gearan bersih yang ditetapkan kumpulan sebanyak 0.7x.

 

"Ini memberi kedudukan yang selesa kepada Gamuda untuk menyertai komponen pembiayaan sektor swasta bagi projek MRT3," katanya.

 

Pada November lalu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) menjangkakan tawaran tender bagi projek MRT3 akan dibuka untuk bidaan bermula suku kedua 2022.

 

Setakat ini, kerajaan masih dalam peringkat akhir perincian mengenai pelan pembiayaan MRT3 yang sebelum ini sepatutnya dimuktamadkan akhir tahun lalu.

 

Sharizan berkata, projek MRT3 dijangka kekal sebagai projek yang bakal memberi pulangan menguntungkan pada tahun ini dengan model pembiayaannya dijangka diumumkan dalam suku pertama 2022. 

 

"Jika ini berjaya dicapai, ia akan menjadi pemangkin kuat untuk pengaktifan semula kontrak mega ini kerana tender kerja awam boleh dilancarkan pada suku kedua," jelasnya.

 

Tambahnya, bagi memudahkan keperluan pembiayaan tahunan, jadual pembinaan untuk MRT3 akan dipanjangkan selama 8 hingga 10 tahun berbanding 5 hingga 6 tahun untuk MRT1 dan MRT2.

 

Selain projek MRT3, beliau juga menjangkakan Gamuda akan mendapat manfaat daripada bidaan projek di Australia bernilai RM5 hingga RM6 bilion, kontrak penambakan semula tanah bagi Penang South Islands (PSI) bernilai RM5 bilion pada separuh kedua 2022.

 

Gamuda juga, katanya akan mendapat kelebihan apabila kerajaan menyemak semula pelupusan aset lebuh raya domestik kumpulan melalui cadangan amanah lebuh raya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Gamuda dengan harga sasaran pada RM3.88 sesaham. 

 

Setakat 12.17 tengah hari ini, harga saham Gamuda susut 4 sen atau 1.41% kepada RM2.80 dengan 204,100 saham diniagakan. - DagangNews.com