CGS-CIMB jangka untung bersih Bermaz Auto meningkat pada 4Q2022 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka untung bersih Bermaz Auto meningkat pada 4Q2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan Bermaz Auto Berhad akan meraih keuntungan bersih lebih baik pada 4QFY4/22F kesan daripada beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan jualan kenderaan.

 

Antara faktor yang menjadi penyumbang termasuk peningkatan permintaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei ini, pengecualian cukai jualan berterusan dan pengenalan model kereta baharu seperti Mazda CX-30, Kia Carnival dan Peugeot 2008.

 

Firma penyelidikan itu mendapati, tempahan tertunggak kumpulan itu berada pada paras 3,500 unit namun berada dalam keadaan terkawal.

 

"Kumpulan itu menyasarkan jualan sebanyak 13,000 unit kenderaan bagi FY4/22F menerusi model keluaran Mazda, Kia and Peugeot. 

 

"Kami menjangkakan lebih 55% tempahan tertunggak adalah daripada model pemasangan tempatan (CKD) yang menawarkan margin keuntungan lebih baik mengatasi model import sepenuhnya (CBU).

 

"Pada masa sama, kami juga tidak melihat sebarang kesan kenaikan harga barangan yang menjejaskan kumpulan itu akibat krisis Rusia-Ukraine kerana tiada sebarang alat ganti digunakan dari wilayah itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

bermaz

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) bagi 9MFY22 berkembang sebanyak 1.6% kepada 6.6% walaupun terdapat penurunan pendapatan sebanyak 13% kesan daripada beberapa faktor termasuk penghentian kempen promosi.

 

Perkembangan itu juga disumbangkan oleh jualan yang lebih baik melibatkan model pemasangan tempatan yang memberikan margin keuntungan lebih besar dan penjimatan kos daripada aktiviti promosi dan iklan.

 

"Secara keseluruhan Bermaz Auto mencatatkan keuntungan bersih 14% pada 9MFY22," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham-saham Bermaz Auto pada harga sasaran tidak berubah RM1.90 sesaham. - DagangNews.com