CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' terhadap HSS Engineers, TP RM1.21 didorong kejayaan raih projek baharu | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal saranan 'tambah' terhadap HSS Engineers, TP RM1.21 didorong kejayaan raih projek baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi, RM1.21 sesaham untuk HSS Engineers Berhad didorong kejayaan meraih projek baharu dan margin keuntungan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana kedudukannya sebagai proksi bahagian hadapan dalam rantaian nilai pembinaan, memandangkan pendedahan hasil tertinggi dan bilangan pekerjanya dalam sektor perkhidmatan pengurusan projek dan kejuruteraan tempatan (EPMS) 

 

Mereka menjangkakan pulangan ke atas ekuiti (ROE) HSS Engineers bagi tahun ini sebanyak 11% berbanding purata sektor sebanyak 6.8%.

 

"Bagaimanapun mereka berdepan risiko pelancaran projek infrastruktur utama yang lebih perlahan selain risiko projek tunggal kerana Perundingan Pengurusan Projek (PMC) MRT3 menyumbang 63% daripada buku pesanan bernilai RM1.4 bilion pada 30 Jun 2023," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara rasminya buku tender kumpulan itu berada pada paras RM415 juta (dengan kadar kejayaan 50%).

 

Firma penyelidikan itu juga percaya bahawa terdapat potensi kontrak bernilai RM1.9 bilion dalam sektor perkhidmatan pengurusan projek dan kejuruteraan tempatan (EPMS) dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

"Pada pandangan kami, banyak projek yang berkesan kepada kumpulan itu termasuk Pan Borneo Sabah Fasa 1B, LRT Pulau Pinang, Westports dan pusat industri/data.

 

"Kami percaya HSS sedang mengorak langkah betul dalam dua bidang yang penting untuk memastikan pengembangan jangka panjang termasuk menghasilkan pendapatan berulang menerusi loji solar fotovoltaik 30MW di Kedah dan kejayaan projek di Bangladesh dan  LRT Jakarta," katanya.

 

CGA-CIMB Research menjangkakan,  kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR)  pendapatan sesaham (EPS) dua tahun kumpulan itu sebanyak 31% berbanding FY23 hingga FY25 didorong pengiktirafan keuntungan yang lebih tinggi untuk PMC MRT3 sebaik sahaja tiga pakej kejuruteraan awam dianugerahkan.

 

"Kami percaya ia mungkin berlaku menjelang suku keempat tahun ini memandangkan tempoh sah tender telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023," katanya. - DagangNews.com