KUALA LUMPUR 19 Jan - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dilihat sebagai 'pemenang tunggal' memandangkan kemunculan syarikat penerbangan baharu, MYAirline Sdn Bhd. akan mencetuskan persaingan harga dalam sektor penerbangan negara.
Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap berkata, menubuhkan syarikat penerbangan ketika pandemik dengan kedudukan imbangan tunai yang bersih dan akses kepada pajakan pesawat tambang rendah dapat memastikan kos operasi rendah dan keupayaan untuk bersaing secara agresif dengan pemain industri lain sekali gus mampu menawarkan tambang penerbangan yang mampan.
Pada masa sama, katanya, tidak sukar untuk mengambil juruterbang dan anak kapal dengan gaji yang berpatutan, kerana ramai telah diberhentikan kerja akibat wabak COVID-19.
"Dengan kos operasi yang rendah, MYAirline yang dalam proses untuk memulakan operasi akan berada dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan tambang rendah yang mampan dalam mempromosikan syarikatnya dan mendapatkan bahagian pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Isnin, media melaporkan pihak kawal selia industri penerbangan Malaysia telah meluluskan 2 syarikat penerbangan baharu dalam sektor ini.
Dalam laporan yang memetik sumber itu, salah satu syarikat tersebut ialah MYArline, syarikat penerbangan tambang murah ultra (ULCC) yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.
Semakan di laman web Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dalam laporan berkenaan turut menunjukkan bahawa ULCC baharu, yang sebelum ini didaftarkan sebagai Z9 Elite Sdn. Bhd., telah diberikan kelulusan bersyarat untuk lesen perkhidmatan udara (ASL) pada 22 Disember 2021.
MYAirline mempunyai RM2 juta modal saham berbayar dan dikawal oleh Datuk Goh Hwan Hua, yang juga memiliki 98% dalam syarikat penerbangan ini menerusi syarikat pegangan Zillion Wealth Bhd. (88%) and Trillion Cove Holdings Bhd. (10%) manakala baki lagi 2% dimiliki Rayner Teo Kheng Hock, yang sebelum ini berkhidmat di AirAsia Group sebagai Ketua Jualan dan Pengedaran antara 2004 hingga 2020.
Menurut Yap, syarikat penerbangan ini turut berunding untuk mendapatkan pajakan 2 pesawat A320 atau lebih.
Pemain industri di Malaysia setakat ini termasuklah Malaysia Airlines Bhd., AirAsia Group Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, beliau mendapati rangkaian pesawat AirAsia berkembang pada tahun lalu di sebalik pandemik COVID-19 selepas kumpulan menyerap pesawat syarikat bersekutunya.
Katanya, AirAsia berkemungkinan tidak sabar untuk menempatkan semula kumpulan pesawatnya dan mengekalkan bahagian pasarannya dalam sektor penerbangan di negara ini.
"Malaysia Airlines pula telah merundingkan semula kadar pajakan pesawatnya dan berada dalam kedudukan baik untuk bersaing, manakala Malindo juga sedang mempertimbangkan membawa balik pesawat jetnya dari Indonesia jika permintaan di Malaysia dapat memberi jaminan pulangan kepada mereka.
Secara dasarnya, kami berpendapat, persaingan harga yang agresif sejajar dalam lonjakan kapasiti tempat duduk dalam tempoh selepas pandemik, yang mungkin merangsang jumlah trafik penumpang, dengan MAHB sebagai pemenang tunggal," jelas beliau.
CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' terhadap MAHB tetapi menyemak semula harga sasaran lebih rendah pada RM6.95 berbanding RM7.45 sebelum ini.
Ini berikutan firma itu menyemak turun unjuran trafik penumpang antarabangsa pada tahun ini kepada 13,3 juta berbanding 21.3 juta sebelum ini ekoran kebimbangan varian baharu COVID-19, Omicron.
"Namun, pemangkin kepada penarafan semula MAHB termasuklah kemungkinan menandatangani perjanjian operasi baharu dengan kerajaan, yang akan mengakibatkan kenaikan dalam tarif aeronautik," katanya.
Setakat 12.30 tengah hari ini, saham MAHB susut 2 sen atau 0.34% kepada RM5.78 dengan 547,700 saham diniagakan. - DagangNews.com