KUALA LUMPUR 24 Nov - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap KPJ Healthcare Bhd. dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.18 daripada RM1.04 sesaham sebelum ini selepas kumpulan merekodkan prestasi kewangan mengatasi jangkaan penganalisis bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022.
Keuntungan bersih kumpulan perubatan itu pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 naik kepada RM54.28 juta berbanding RM12.64 juta pada suku tahun sama pada tahun lalu manakal perolehan meningkat kepada RM809.16 juta daripada RM698.96 juta.
Prestasi lebih baik itu disokong oleh aktiviti hospital yang meningkat berdasarkan peningkatan kunjungan pesakit dan kadar penghunian katil, masing-masing kepada 910,995 pesakit (suku ketiga tahun kewangan 2021: 782,732 pesakit) dan 64% (suku ketiga 2021: 43%).
Ini menyaksikan keuntungan bersihnya bagi tempoh sembilan bulan melonjak 218% kepada RM103.57 juta daripada RM32.57 juta, dengan pendapatan meningkat kepada RM2.17 bilion daripada RM1.94 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini, pendapatan sesaham (EPS) teras KPJ dengan ketara mengatasi jangkaan, membentuk 100% daripada ramalan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) firma dan 94% daripada konsensus Bloomberg.
Susulan itu, ia menaikkan unjuran EPS teras bagi FY22 hingga FY24 sebanyak 8.6 hingga 27.4% setelah mengambil kira perbelanjaan operasi (opex) dan susut nilai yang lebih rendah dan pendapatan syarikat bersekutu yang lebih tinggi.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan EPS teras akan menurun suku ke suku disebabkan impak suku penuh daripada kerugian Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) yang belum menjana hasil dan tekanan kos berterusan, mungkin mengimbangi pertumbuhan hasil yang stabil.
"Oleh itu, kami menaikkan andaian nisbah pembayaran FY22 hingga FY24 kami kepada 70% (berdasarkan tempoh sembilan bulan 2022, berbanding sebelumnya: 50%), membawa kepada hasil antara 2.5 hingga 3%," katanya.
Menurutnya, pemangkin penarafan semula bergantung pemulihan hasil sepenuhnya dan peningkatan sumbangan daripada pelancongan kesihatan.
Pada 9 pagi ini, harga saham KPJ menokok 1 sen atau 1.16% kepada 87 sen dengan 13,500 saham diniagakan. - DagangNews.com