Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Langkah Top Glove Corp. Bhd. menyemak semula sasaran pengumpulan dana yang lebih rendah hampir 50% menerusi penyenaraian di Hong Kong, dinilai negatif oleh CGS-CIMB.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, semalam, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu bercadang untuk mengumpul kira-kira RM2.21 bilion daripada penyeraiannya berbanding RM4.17 bilion yang pernah disasarkannya pada April lalu.
Malah, ia juga adalah 71% lebih rendah daripada sasaran awalnya pada Februari lalu, berjumlah RM7.7 bilion.
Top Glove meletakkan sasaran baharu itu selepas ia mengemukakan semula permohonan bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Hong Kong Stock Exchange (HKEX) semalam, selepas permohonannya luput 2 bulan lalu.
Penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw berkata, di sebalik perkembangan positif yang ditonjolkan oleh Top Glove, langkah pengumpulan modal ini masih memberi kecairan kepada pendapatan sesaham (EPS).
"Oleh itu, kami sedikit negatif terhadap perkembangan ini, kerana mengambil kira kesan kecairan ini.
"Dengan mengandaikan sebanyak 790.5 juta saham baharu diterbitkan, langkah ini akan mengurangkan unjuran EPS kami bagi tahun kewangan 2022-2023 antara 4.2 hingga 6%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Malah, beliau juga berpendapat, langkah pengumpulan modal itu secara dasarnya tidak diperlukan sepenuhnya memandangkan Top Glove memiliki tunai bersih sebanyak RM2 bilion (setakat akhir Ogos tahun kewangan 2021).
"Ini adalah walaupun syarikat memiliki 200 juta saham perbendaharaan, berdasarkan anggaran kami, selepas ia membelanjakan RM1.4 bilion untuk membeli semula sahamnya dalam tempoh setahun lalu," tambahnya.
Top Glove menyasarkan untuk menggunakan RM2.2 bilion (termasuk lebihan peruntukan saham dan perbelanjaan penyenaraian) daripada langkah tersebut dengan memperuntukkan 60% untuk perancangan perbelanjaan modal (capex) sedia ada dan penyelidikan dan pembangunan (10%).
Selain itu, ia juga memperuntukkan 10% daripadanya bagi melaksanakan langkah penggabungan dan pengambilalihan, menambah baik sistem teknologi maklumat (10%), inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (5%) dan bagi tujuan modal kerja (5%).
"Melihat kepada harga saham semasa dan keperluan pembiayaan kumpulan, ini jauh lebih rendah daripada rancangannya untuk mengumpul RM4.2 bilion pada April (berdasarkan bilangan saham baharu yang sama) dan RM7.7 bilion pada Februari (berdasarkan 1.5 bilion saham baharu)," jelas beliau.
Firma itu bagaimanapun tidak membuat perubahan bagi unjuran EPS untuk tahun kewangan 2022-2024 sementera menanti perkembangan selanjutnya daripada Top Glove.
Sebaliknya, ia mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham top Glove dengan harga sasaran pada RM3.
"Walaupun prospek pendapatan kumpulan dijangka lemah, tetapi kami percaya penilaian semasa Top Glove akan terus disokong melalui permintaan sarung tangan getah global tidak elastik dalam tempoh jangka masa panjang, kedudukannya sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia dan memiliki kedudukan tunai bersih yang kukuh," katanya. - DagangNews.com