CGS-CIMB optimis dengan kerjasama LSK & Cuckoo, kekal panggilan 'Tambah' | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB optimis dengan kerjasama LSK & Cuckoo, kekal panggilan 'Tambah'

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

KUALA LUMPUR 13 Jan - CGS-CIMB kekal optimistik dengan kerjasama Lee Swee Kiat Group Bhd (LSK) dengan Cuckoo International (MAL) Sdn Bhd (Cuckoo)  membangunkan produk peralatan tempat tidur eksklusif dan menyampaikannya kepada pelanggan Cuckoo.

 

Menurut firma penganalisis itu, dengan pemansuhan langkah penutupan sektor ekonomi dan disokong oleh sentimen pengguna yang lebih baik dan lebih banyak aktiviti pemasaran, LSK yakin dapat mencapai jualan sebanyak 20,000 unit (+185% yoy) pada FY22. 

 

"Pada pandangan kami, model sewaan dengan kos pembelian awal yang rendah yang ditawarkan oleh Cuckoo-LSK apabila membeli tilam siri A juga boleh menjadi cadangan yang menarik kepada pembeli di tengah-tengah sentimen pengguna semasa yang lemah. 

 

"Ambil perhatian bahawa LSK menjangkakan sumbangan daripada kerjasamanya dengan Cuckoo untuk menyumbang sekurang-kurangnya 20% daripada perolehannya dari FY22F dan seterusnya," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Di bawah perjanjian kerjasama dengan nisbah perkongsian hasil 40:60 untuk LSK dan Cuckoo International, LSK akan membangunkan produk peralatan tempat tidur eksklusif dan menghantarnya kepada pelanggan Cuckoo.

 

Perjanjian kerjasama tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 9 Disember 20 dan boleh diperbaharui atas persetujuan bersama oleh kedua-dua pihak. 

 

Cuckoo akan bertanggungjawab dalam aktiviti pemasaran dan kutipan pembayaran untuk produk ini di Malaysia, memanfaatkan anggaran 1 juta pelanggan terkumpul dan 45,000 ahli jualan di seluruh negara. 

 

Di bawah model sewaan, pelanggan membayar yuran bulanan untuk bilangan ansuran tetap dan pelanggan Cuckoo juga boleh memilih untuk membeli produk tersebut.

 

"Kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendaparan sesaham (EPS) FY22-24, kami juga mengekalkan panggilan Tambah dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.84," katanya. 

 

LSK merupakan pengeluar tilam yang paling meluas di Asia Tenggara dengan lebih daripada 50% produknya adalah bagi pasaran eksport. -DagangNews.com