Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Ogos - CGS-CIMB Research membuat ramalan kepada pemulihan syarikat 7-Eleven Malaysia dengan lebih berkati-hati bagi separuh kedua tahun kewangan 2020.
Jelas CGS-CIMB Research, ramalan tersebut dibuat susulan jumlah waktu operasi kedai 7-Eleven yang terhad serta sentimen pengguna terhadap wabak COVID-19.
"Walaupun kami menjangkakan pemulihan yang lebih baik pada separuh kedua 2020, kami melihat perkara tersebut dengan lebih berhati-hati kerana waktu operasi kedai adalah terhad berbanding 24 jam di sesetengah kedai sebelum PKP.
"Prestasi pembelian dalam kalangan pengguna juga menurun kerana mereka masih berhati-hati untuk keluar membeli disebabkan oleh wabak," jelas CGS-CIMB Research.
Semua kedai 7-Eleven Malaysia mula dibuka susulan kelonggaran pergerakan secara beransur-ansur.
Sebanyak tujuh buah kedai baharu dibuka pada suku kedua tahun kewangan 2020, manakala 35 buah kedai ditutup sepanjang krisis wabak akibat perubahan iklim perniagaan.
Pendapatan 7-Eleven Malaysia menurun 13.3% pada suku kedua 2020 berbanding 70.7% pada tahun sebelumnya.
Penurunan prestasi tersebut disebabkan oleh penutupan kedai-kedainya di pusat beli-belah serta jumlah waktu operasi yang sangat terhad.
Sebahagian besar pendapatan dalam kategori produk di syarikat berkenaan mengalami penurunan kecuali penjualan produk berasaskan tembakau yang meningkat 22.7% pada suku tersebut.
Situasi tersebut menyebabkan margin keseluruhan merosot kepada 35.6% pada suku kedua 2020 berbanding 39.3% pada suku kedua 2019. - DagangNews.com