CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Top Glove | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘tambah’ saham Top Glove

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Selepas mencatatkan keuntungan bersih melebihi jangkaan pada bulan lalu, CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) dengan sasaran harga (TP) RM10.

“Walaupun Top Glove menunjukkan prospek perolehan yang kukuh, namun kami mengekalkan min nilai harga mengikut tempoh 5 tahun ini susulan tahun kewangan 2021 hanya satu-satunya berpotensi menawarkan keuntungan tinggi.

“Kami terus menyukai Top Glove memandangkan ia merupakan kelebihan utama kepada permintaan sarung tangan yang lebih tinggi didorong pandemik COVID-19 sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) yang berakhir bulan lalu menyaksikan keuntungan bersih Top Glove melonjak 1,513.9% berbanding tempoh sama pada tahun lalu kepada RM1.3 bilion. 

Ini menjadikan keuntungan bersih tahun kewangan 2020 (FY20) melonjak 403.8% daripada tahun lalu kepada RM1.9 bilion, melebihi jangkaan CGS-CIMB.

Lonjakan itu didorong jumlah jualan yang lebih tinggi, peningkatan harga jualan signifikan, skala ekonomi lebih baik sekali gus menjadikan hasil dan keuntungan bersih 4Q20 masing-masing naik sebanyak  84.2% dan 271%.

Jumlah keseluruhan jualan meningkat sebanyak 16.6% didorong oleh permintaan lebih tinggi di negara-negara sedang membangun. 

Trend itu kekal pada 4Q20 di mana jumlah jualan keseluruhan meningkat sebanyak 43.5% yang disokong oleh penggunaan sarung tangan lebih tinggi di negara-negara berkenaan berbanding sebelum ini, penggunaan setiap kapita lebih rendah.

“Kami terus menjangkakan Top Glove akan mencatatkan keuntungan lebih mengukuh pada masa akan datang dibantu permintaan sarung tangan global yang terus meningkat. 

“Berdasarkan perolehan 4Q20 yang melebihi jangkaan, kami meningkatkan perolehan sesaham (EPS) pada tahun kewangan 2021 dan 2022 sebanyak 95% hingga 178%,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com