CGS-CIMB turunkan harga sasaran Aemulus kepada 76 sen dengan saranan 'tambah' | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB turunkan harga sasaran Aemulus kepada 76 sen dengan saranan 'tambah'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Julai - CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran Aemulus Holdings Bhd. kepada 76 sen daripada RM1.20 sesaham sebelum ini berikutan laporan kewangan suku ketiganya yang kurang memuaskan. 

 

Pada suku berakhir 30 Jun 2022 itu, pendapatannya susut 11.3% bagi suku ke suku kepada RM17 juta disebabkan permintaan yang lebih lemah dalam pasaran mudah alih dan tablet serta pesanan tertunggak lebih AS$600,000 (RM2.7 juta). 

 

Kumpulan itu menyaksikan penangguhan pesanan daripada pelanggannya terutama disebabkan kelewatan dalam peruntukan wafer oleh faundri.

 

Untung bersih juga susut kepada RM1.7 juta pada suku berkenaan berbanding RM2.71 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya

 

Susulan itu, dalam nota kajian hari ini, CGS-CIMB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 5% hingga 15%.

 

Menurutnya, semakan tersebut mengambil kira jumlah jualan yang lebih lemah daripada jangkaan pada suku ketiga dan unjuran pertumbuhan jualan yang lebih rendah bagi mencerminkan kelembapan pasaran mudah alih dan tablet.

 

"Namun begitu, strategi kepelbagaian Aemulus dalam CIS dan automotif mula menampakkan perkembangan yang baik, dengan kumpulan meneroka komitmen jangka panjang daripada para pelanggannnya.

 

"Ini boleh memberikan pesanan yang lebih baik dan membantu mengurangkan kesan kelembapan dalam segmen tablet dan mudah alih," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan Aemulus akan merekodkan jualan campuran yang lebih baik antara China dan pasaran lain di dunia pada suku keempat.

 

Katanya, memandangkan situasi kekurangan bekalan wafer semakin bertambah baik, terutamanya sekatan yang semakin berkurangan di China.

 

"Oleh itu, kami melihat peningkatan margin penghantaran pada suku keempat ini berikutan skala ekonomi tang lebih baik dan semakan menaik dalam harga jualan purata (ASP) penguji," katanya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB masih mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Aemulus.

 

Setakat 9.25 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.85% kepada 58.5 sen dengan 8.17 juta saham diniagakan. - DagangNews.com